
PENYANYI Najwa Latif dan suaminya penyanyi rap Akwa Arifin pertama kali berkongsi wajah anak mereka di laman sosial Instagram.
Memuat naik foto Najwa bersama alat penguji kehamilan dan si kecil, Akwa mengenang kembali momen mengetahui isterinya hamil kira-kira setahun yang lalu.
"Setahun yang lalu, hari ini. Masih segar dalam ingatan, rasa macam baru semalam.
"Waktu tu awak panggil saya naik atas, masa saya tengah sibuk kemas rumah, buat persiapan raya.

"Sejujurnya, langsung tidak terlintas di fikiran, itu berita yang awak hendak sampaikan.
"Mungkin sebab sebelum itu, kita baru saja lalui antara fasa paling sukar dalam hidup. Kita berdua pun tak pernah sangka, rezeki akan datang lagi secepat ini," titip Akwa.
Artikel berkaitan:
- 'ALLAH bagi pinjam 5 minggu...' Najwa Latif kongsi berita duka, keguguran anak pertama
- Najwa Latif timang anak sulung tepat anniversary ketiga .' '11. 11 jadi lebih bermakna'
Pelantun lagu Bestfriendku dan My Precious itu juga menghargai pengorbanan Najwa atau nama penuhnya Imratul Najwa Abdul Latif dalam mengharungi perjalanan mereka untuk menimang cahaya mata selepas mengalami keguguran pada 9 Disember 2024 ketika usia kandungan lima minggu.
"Sekarang, setahun kemudian, di tempat yang sama, you berdiri di sini dukung anak kita dalam pelukan. Subhanallah besar betul perubahan dalam setahun.
"Terima kasih, sayang sebab memilih untuk lalui semua ini bersama saya.kuat, tabah dan membawa kehadiran permata kecil ke dalam hidup ini.

"Saya sayang kamu berdua sangat-sangat. Dan satu lagi, kenapa Medina ni comel sangat, geram!
"Dari detik itu ke detik ini tak pernah sekali pun saya berhenti bersyukur dengan keluarga kecil kita ini.
"Semoga lebih banyak memori indah kita cipta bersama, insya-ALLAH," titip Akwa.
Najwa terdahulu berkongsi foto-foto sambutan hari raya bersama Medina pada laman Instagram miliknya.
Sekadar info, Medina dilahirkan tepat pada hari ulang tahun ketiga perkahwinan pasangan berkenaan 11 November 2025.
Najwa, 31, sah bergelar isteri kepada pasangannya yang juga penyanyi rap, Akwa Arifin, 34, pada 11 November 2022.

