Commerze Capital bantu PKS bumiputera akses aliran tunai

Business & Finance
27 Jul 2026 • 8:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Commerze Capital bantu PKS bumiputera akses aliran tunai

MUKADIMAH

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) merupakan tulang belakang ekonomi negara dengan mewakili 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan berdaftar. 

Namun, di sebalik sumbangan besar itu, masih ramai usahawan berdepan kekangan mendapatkan akses kepada aliran tunai yang pantas bagi memastikan operasi perniagaan dapat diteruskan.

Kesukaran mendapatkan pinjaman bank akibat syarat kelayakan yang ketat menyebabkan sebahagian besar PKS, khususnya syarikat bumiputera, terus berdepan masalah modal pusingan walaupun berjaya memperoleh kontrak daripada kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat korporat besar.

Bagi mengupas penyelesaian kepada cabaran tersebut, wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM menemubual Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Commerze Capital, SHAHROM LATIF mengenai peranan institusi kewangan alternatif itu dalam membantu PKS memperoleh akses pembiayaan melalui kemudahan pemfaktoran invois patuh syariah.

 

UTUSAN: Mengapa isu aliran tunai masih menjadi cabaran utama kepada PKS di Malaysia?

SHAHROM: PKS merupakan tulang belakang ekonomi dengan mewakili 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan berdaftar.

Bagaimanapun, terdapat satu kekangan berterusan yang mengancam kelangsungan mereka iaitu akses kepada aliran tunai yang cepat dan dipercayai.

Walaupun memainkan pera­nan penting dalam memacu ekonomi negara, pinjaman bank tradisional sukar diperoleh oleh kebanyakan PKS.

Kriteria kelayakan bank yang ketat menyebabkan hanya kira-kira 20 peratus hingga 25 peratus PKS berjaya mendapatkan pembiayaan, kebanyakannya disebabkan ketiadaan cagaran atau rekod perniagaan yang masih baharu.

Jurang kredit ini memberi kesan paling ketara kepada usa­hawan bumiputera. Biarpun memegang 30 peratus daripada pemilikan perniagaan, syarikat bumiputera hanya menyumbang 20 peratus kepada ke­seluruhan jualan perniagaan nasional.

Antara faktor utama ialah kadar penggunaan instrumen pengoptimuman aliran tunai, seperti Pembiayaan Rantaian Bekalan (SCF), yang masih rendah.

Hanya 38 peratus PKS bumiputera memanfaatkan penyelesaian ini berbanding 55 peratus perniagaan lain, sekali gus mengehadkan modal pusingan mereka untuk membida kontrak yang lebih besar.

Apabila sesebuah PKS berjaya mendapatkan kontrak daripada kerajaan, GLC atau syarikat korporat besar, mereka biasanya tertakluk kepada tempoh bayaran antara 30 hingga 90 hari.

Menunggu giliran pembayaran selama berbulan-bulan akan me­merangkap modal pusingan, sekali gus menyukarkan mereka untuk membayar pembekal atau mengambil projek baharu.

 

Bagaimanakah pemfaktoran invois dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut?

Di sinilah pemfaktoran invois memainkan peranan penting. Pemfaktoran ialah kemudahan kewangan di mana syarikat perniagaan menukar bil atau invois yang belum dibayar oleh pelanggan kepada tunai segera melalui pemberi kredit pihak ketiga (pemfaktor).

Proses ini boleh berlaku dalam dua cara utama iaitu pemfaktor membeli invois itu daripada syarikat perniagaan atau pemfaktor memberi pendahuluan tunai kepada syarikat perniagaan dengan menggunakan invois tersebut sebagai cagaran.

Dalam kedua-dua keadaan, tujuannya adalah sama iaitu syarikat perniagaan dapat tunai dengan cepat tanpa perlu menunggu pelanggan membuat bayaran.

Berbanding menunggu pe­langgan membayar, PKS boleh menjual invois belum terima tersebut kepada institusi pembiayaan alternatif untuk mendapatkan pendahuluan tunai segera.

Memandangkan syarikat pem­biayaan akan menilai kelayakan kredit pembayar (kerajaan atau korporat besar) dan bukannya PKS itu sendiri, usahawan tidak perlu mengemukakan aset yang besar sebagai cagaran.

 

Apakah peranan Commerze Capital dalam membantu PKS yang sukar mendapatkan pembiayaan bank?

Antara pelopor utama yang aktif menyelesaikan isu sistemik ini ialah Commerze Capital, sebuah institusi kewangan alternatif berlesen yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 2007, syarikat telah menyalurkan pembiayaan melebihi RM800 juta dan membantu lebih 800 PKS merentasi sektor berimpak tinggi seperti teknologi, telekomunikasi, pertanian serta minyak dan gas.

Lebih 70 peratus daripada pelanggan kami terdiri daripada syarikat ‘unbankable’ yang sukar mendapatkan bantuan kewangan daripada institusi perbankan biasa.

Bagi menyokong golongan usahawan ini, kami menawarkan kemudahan pemfaktoran patuh Syariah yang disahkan di bawah konsep Tawarruq oleh firma penasihat Syariah global, Tawafuq Consultancy.

Commerze Capital merupakan salah satu daripada segelintir syarikat pembiayaan ‘mesra-EP’ yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Integrasi ini membolehkan mereka memfaktorkan invois pelanggan secara terus daripada platform digital e-Perolehan kerajaan, sekali gus menjamin proses kelulusan yang pantas dan penyaluran tunai segera kepada pemilik perniagaan.

 

Apakah bentuk kerjasama strategik yang dijalinkan bagi memperluaskan akses pembiayaan kepada usahawan?

Bagi meluaskan impak po­sitifnya, Commerze Capital be­kerjasama rapat dengan rakan korporat dan agensi kerajaan melalui program pembiayaan khusus seperti unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dengan bekerjasama dalam Program Pembiayaan Projek Modal Pusingan Islam (I-WCPF) untuk membantu syarikat bumiputera melaksanakan kontrak sektor awam bernilai tinggi.

Kerjasama turut dilaksanakan bersama Telekom Malaysia (TM) yang bertindak sebagai rakan pembiayaan rasmi dalam program vendor TM PERINTIS, dengan menawarkan pakej modal pusingan sehingga RM10 juta.

Selain itu ialah kerjasama dengan syarikat telekomunikasi CelcomDigi dengan mengambil bahagian sebagai rakan kewangan utama dalam siri Bengkel Digital Usahawan MY5G bagi membantu PKS mendapatkan akses dana dan alatan teknologi untuk berkembang.

Perbadanan Kota Buku juga dilantik oleh GLC di bawah Kementerian Pendidikan untuk menyediakan perkhidmatan pemfaktoran invois berstruktur mengikut garis panduan tadbir urus awam yang ketat.

 

Apakah perancangan Commerze Capital dalam memperkasa PKS pada masa hadapan?

Sebagai bekas jurubank komersial dengan pengalaman lebih 15 tahun, saya melihat automasi digital sebagai keutamaan.

Bagi memudahkan perusahaan mikro mendapatkan pe­­nyelesaian aliran tunai, Commerze Capital sedang membangunkan platform digital automatik untuk mempercepatkan kelulusan perkhidmatan pemfaktoran dan pra pemfaktoran.

Sebagai bukti komitmen ini, syarikat baru-baru ini meluncurkan dana pembiayaan khas bernilai RM50 juta khusus untuk memacu transformasi digital PKS bumiputera di seluruh negara.

Kami mahu memecahkan halangan sistemik dan membuka peluang pertumbuhan yang adil serta telus bagi membantu PKS berkembang secara digital.

Dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, pembiayaan alternatif patuh syariah bukan lagi sekadar pilihan sokongan, ia adalah satu keperluan makroekonomi yang memastikan perusahaan kecil negara mampu menyiapkan projek mereka dengan jayanya tanpa kekangan modal pusingan. – UTUSAN

The post Commerze Capital bantu PKS bumiputera akses aliran tunai appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved