Contoh Aktiviti Maulidur Rasul & Tarikh Cuti Umum di Malaysia 2026

21 Aug 2026 • 4:34 AM MYT
eCentral
eCentral

Portal rujukan nombor #1 Malaysia. Kini lebih 30 juta capaian sebulan!

Maulidur Rasul merupakan sambutan yang penting bagi seluruh umat Islam untuk memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada setiap 12 Rabiulawal. Di Malaysia, perayaan ini disambut meriah dengan pelbagai pengisian bermakna bagi menanam rasa cinta kepada Baginda.

Pada tahun ini, tarikh Maulidur Rasul di Malaysia jatuh pada 25 Ogos 2026 (Selasa), bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1448H. Hari ini merupakan cuti umum persekutuan bagi semua negeri di Malaysia.

Berikut dikongsikan beberapa idea aktiviti Maulidur Rasul yang menarik, interaktif, dan sesuai untuk pelbagai peringkat umur.

Apa itu Maulidur Rasul?

Maulidur Rasul berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud kelahiran Nabi SAW.

Kelahiran baginda membawa rahmat kepada sekalian makhluk di seluruh alam dan merupakan utusan terakhir dalam menyebar syiar Islam.

Umat Islam menyambut hari kebesaran ini pada 12 Rabiulawal setiap tahun mengikut kalendar Hijriah bagi mengenang sirah perjuangan, meneladani akhlak mulia Baginda, serta memperbanyakkan amalan selawat.

Bagi tahun 1448H / 2026M di Malaysia, tarikh rasmi sambutan jatuh pada 25 Ogos 2026 (Selasa).

Image from: Contoh Aktiviti Maulidur Rasul & Tarikh Cuti Umum di Malaysia 2026
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM

Ini adalah empat sifat keperibadian Rasulullah SAW menjadi cerminan akhlak mulia yang wajar kita hayati dan amalka:

  • Siddiq (berkata benar)
  • Amanah (dipercayai)
  • Tabliq (menyampaikan)
  • Fatanah (bijaksana)

Sempena Maulidur Rasul SAW, marilah kita bukan hanya memperingati kelahiran Baginda, tetapi menghidupkan sunnah dan menzahirkan akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

Tema Maulidur Rasul 2026

Tema Rasmi Kebangsaan bagi Sambutan Maulidur Rasul 1448H / 2026M di Malaysia ialah “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”.

Tema ini menekankan kepentingan menghayati nilai-nilai murni dalam acuan Malaysia MADANI bagi melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni, bersatu padu, dan mendapat keberkatan Allah SWT dengan mencontohi sunnah serta akhlak mulia Nabi Muhammad SAW.

Bila Maulidur Rasul 2026?

Pada tahun 2026, Maulidur Rasul di Malaysia jatuh pada 25 Ogos 2026 (Hari Selasa), bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1448H.

Hari ini merupakan hari cuti umum (public holiday) rasmi bagi seluruh negeri di Malaysia.

Maulidur Rasul
Sumber: Jabatan Perdana Menteri

Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M akan diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM Serdang pada hari yang sama, 25 Ogos 2026. Orang ramai boleh menyaksikan secara siaran langsung menerusi RTM TV1 dan facebook JAKIM bermula jam 9.00 pagi.

Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM

Senarai Aktiviti Maulidur Rasul Sesuai untuk Sekolah, Masjid & Pejabat

1. Perarakan Maulidur Rasul

Antara aktiviti paling popular sempena Maulidur Rasul adalah perarakan sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Ramai pelajar terutamanya di peringkat Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) mahupun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pasti akan mempunyai pengalaman dalam aktiviti perarakan di sekitar kawasan sekolah bersama rakan-rakan dan guru-guru. 

Sambil memperagakan baju kebangsaan seperti baju Melayu dan baju kurung, perarakan juga sudah pasti diiringi dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW secara beramai-ramai.

Laungan daripada suara pelajar-pelajar ketika berselawat sudah tentu mengimarahkan semangat cintakan Nabi kita.

Tidak lengkap perarakan tanpa membawa kain rentang untuk dibawa berarak bersama dan kebiasaanya pasukan yang mempunyai kain rentang dan pakain tercantik akan diinsytiharkan sebagai pemenang.

Aktiviti Maulidur Rasul

2. Majlis Bacaan Al-Quran / Hafazan

Pertandingan bacaan Al-Quran dan Hafazan juga menjadi merupakan antara aktiviti yang biasanya dianjurkan sempena sambutan Maulidur Rasul.

Pertandingan ini juga merupakan platform pihak sekolah mencungkil bakat membaca Al-Quran dan menghafaz para pelajar.

Acara ini sering kali menguji pelajar menghafaz surah Yassin dan beberapa surah lain seperti surah Al-Baqarah. Dari segi penjurian, bukan sekadar mengingati seluruh ayat, malah pemarkahan juga diambil dari segi bacaan taranum dan lain-lain.

3. Pertandingan Kuiz

Pertandingan kuiz merupakana antara aktiviti yang juga kerap dianjurkan sempena sambutan Maulidur Rasul bagi menguji pengetahuan para pelajar berkenaan sirah Nabi Muhammad SAW.

Pertandingan kuiz ini secara tidak langsung mendorong para pelajar untuk banyakkan membawa tentang sirah Nabi Muhammad, seterusnya memupuk kecintaan terhadap Nabi kita.

4. Majlis selawat, kuliah dan ceramah

Sambutan hari bermakna tidak lengkap rasanya jika tiada aktiviti atau majlis selawat, kuliah atau ceramah khusus bertemakan Maulidur Rasul itu sendiri.

Selalunya kuliah dan ceramah ini berkisarkan topik-topik Sirah Nabawi dan segalanya tentang junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Malah, kebiasaannya sempena hari bermakna ini ada juga segelintir penganjur yang berkemampuan yang menjemput penceramah-penceramah terkenal untuk menarik minat dan menggalakkan penglibatan ramai orang.

5. Pertandingan Seni Islam (Khat & Mewarna)

Aktiviti kesenian Islam seperti penulisan Khat Arab dan mewarna poster sangat sesuai diadakan bagi mencungkil bakat seni kreatif dalam kalangan peserta.

Bagi peringkat prasekolah dan sekolah rendah (Tahap 1), pertandingan mewarna bertemakan lambaian Islam atau kaligrafi ringkas amat menarik untuk disertai.

Manakala bagi pelajar sekolah menengah dan kakitangan pejabat, cabaran menulis Khat ayat Al-Quran atau selawat dengan teknik seni halus yang betul mampu menguji fokus dan kreativiti mereka.

Hasil seni yang terbaik dan tercantik bukan sahaja diberikan hadiah, malah boleh dipamerkan di papan kenyataan sekolah atau ruang legar pejabat sebagai hiasan bermakna.

maulidur rasul

6. Pertandingan Nasyid atau Selawat Solo / Berkumpulan

    Bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan Maulidur Rasul, pertandingan nasyid atau alunan selawat secara solo dan berkumpulan boleh dianjurkan.

    Aktiviti ini memberi peluang kepada para pelajar atau ahli kariah masjid untuk menyampaikan lagu-lagu ketuhanan yang berunsurkan pujian kepada Allah SWT dan kerinduan kepada Rasulullah SAW.

    Melalui dendangan bait-bait lirik nasyid yang positif, mesej dakwah dan pengajaran sirah nabi dapat disampaikan dengan cara yang lebih santai serta menghiburkan.

    7. Program Gotong-Royong dan Jamuan Makan

      Menjamu makanan dan mengeratkan silaturahim sesama insan merupakan antara sunnah yang amat dituntut dalam Islam. Aktiviti gotong-royong memasak ini sangat sinonim dengan sambutan di peringkat masjid dan komuniti penduduk.

      Kebiasaannya, ahli kariah masjid atau kakitangan pejabat akan berkumpul awal pagi untuk menyediakan hidangan istimewa seperti bubur asyura, nasi minyak, atau gulai kawah secara bersama-sama.

      Aktiviti bertukar-tukar juadah ini bukan sahaja meringankan kos penganjuran, malah menjadi ejen penyatu masyarakat yang paling berkesan.

      Makanan yang siap dimasak kemudiannya akan dihidangkan kepada para tetamu selepas selesai majlis ceramah perdana atau diedarkan kepada penduduk sekitar.

      Image from: Contoh Aktiviti Maulidur Rasul & Tarikh Cuti Umum di Malaysia 2026

      8. Pertandingan Azan dan Da’i Cilik / Syarahan

        Satu lagi aktiviti keagamaan yang sangat popular di peringkat sekolah dan masjid ialah pertandingan laungan azan serta pertandingan syarahan (Da’i Cilik).

        Pertandingan azan membantu melahirkan generasi muda yang mampu melaungkan azan dengan taranum yang indah, sebutan fasih, dan sebutan makhraj yang betul.

        Sementara itu, pertandingan syarahan atau public speaking bertemakan “Akhlak Rasulullah SAW” dapat melatih keberanian peserta untuk bercakap di khalayak ramai sambil menyampaikan ilmu sirah nabi.

        Aktiviti seumpama ini sangat penting untuk melatih bakal pemimpin pelapis Islam yang berkeyakinan tinggi pada masa hadapan.

        9. Pameran Sirah dan Jualan Buku Agama

          Mewujudkan ruang pameran khas adalah satu kaedah pendidikan visual yang sangat berkesan untuk menarik minat para pelajar mahupun kakitangan pejabat.

          Pihak penganjur boleh bekerjasama dengan kedai buku atau galeri Islam untuk memamerkan garis masa (timeline) sejarah hidup Nabi Muhammad SAW mahupun jualan buku-buku agama.

          Pengisian pameran ini boleh merangkumi peta perjalanan hijrah, salasilah keluarga nabi, dan fakta-fakta mukjizat baginda.

          Melalui kaedah bacaan visual dan pencerangan daripada fasilitator di tapak pameran, pengunjung akan mendapat gambaran yang lebih jelas dan mendalam mengenai perjuangan baginda.

          10. Kempen Amalan Sedekah & Program CSR (Khidmat Masyarakat)

            Mencontohi sifat pemurah dan keprihatinan Rasulullah SAW terhadap golongan yang susah, kempen amalan sedekah atau program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sangat sesuai dianjurkan sebagai pengisian program Maulidur Rasul terutamanya di peringkat pejabat dan korporat.

            Pihak pejabat atau kakitangan boleh melancarkan tabung untuk mengumpul sumbangan ikhlas berbentuk wang ringgit atau barangan keperluan asas.

            Hasil sumbangan yang terkumpul kemudiannya akan disalurkan melalui aktiviti khidmat masyarakat, seperti melawat dan menyantuni anak-anak yatim, memberikan bantuan kepada pusat tahfiz, atau mengedarkan pek makanan kepada golongan gelandangan.

            Aktiviti ini mampu menterjemahkan penghayatan tema Maulidur Rasul ke dalam bentuk tindakan amalan murni yang memberi impak langsung kepada masyarakat sekitar.

            Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Aktiviti Maulidur Rasul

            Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai sambutan Maulidur Rasul 2026, sila rujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM.

            Soalan Lazim

            Bolehkah perarakan Maulidur Rasul dijalankan di atas jalan raya awam?

            Boleh, tetapi pihak berkaitan wajib memohon permit kelulusan daripada pihak tertentu terlebih dahulu dan mendapat keizinan sebelum acara.

            Apakah pengisian ceramah yang paling relevan untuk kakitangan sektor korporat?

            Pilih tajuk yang berkisar tentang etika perniagaan, integriti, kepimpinan, dan pengurusan stres berpandukan acuan Sunnah Nabi Muhammad SAW.

            Bilakah tarikh cuti umum Maulidur Rasul untuk tahun 2026 di Malaysia?

            Hari kelepasan am (cuti umum) sempena Maulidur Rasul bagi tahun 2026 jatuh pada 25 Ogos 2026 (Hari Selasa).

            Apakah maksud sebenar perkataan ‘Maulidur Rasul’?

            Perkataan Maulid bermaksud “hari kelahiran” dan Rasul merujuk kepada Nabi Muhammad SAW. Jadi, Maulidur Rasul bermaksud Hari Kelahiran Rasulullah SAW.

            Bilakah Nabi Muhammad SAW dilahirkan?

            Baginda dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal pada Tahun Gajah (bersamaan tahun 571 Masihi).

            Siapakah nama ibu dan ayah Nabi Muhammad SAW?

            Nama ayah Baginda ialah Abdullah bin Abdul Mutalib dan nama ibu Baginda ialah Aminah binti Wahab. Ayah baginda wafat sebelum Baginda dilahirkan.

            Apakah tema rasmi Sambutan Kebangsaan tahun ini yang perlu diletakkan pada dokumen program?

            Tema rasmi sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1448H / 2026M ialah “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”.

            Newswav Malaysia Best News App

            Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

            Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved