Counter Setting: 27 Direman,18 Pegawai Agensi Penguat Kuasa Antara Ditahan

LocalPolitics
11 Sep 2025 • 11:16 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seramai 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit dalam sindiket counter setting bagi meloloskan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur sah.

Agensi penguat kuasa antara direman

Menurut laporan Berita Harian, tangkapan dibuat menerusi Op Rentas yang dijalankan semalam di beberapa lokasi sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

image is not available

Foto: Malaysiakini

Operasi tersebut menyaksikan seramai 30 individu ditahan, dengan 27 daripada mereka dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah reman.

Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita berusia antara 20 hingga 50-an.

Mereka dipercayai menerima serta memberi wang rasuah bagi memudahkan urusan keluar masuk warga asing.

Sususlan operasi itu, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000, selain merampas barangan mewah termasuk barangan kemas, kepingan emas, kenderaan, motosikal, beg tangan berjenama, jam tangan serta peranti telekomunikasi.

Sebanyak 40 akaun bank melibatkan 34 individu dan enam syarikat turut dibekukan dengan nilai keseluruhan melebihi RM1 juta.

image is not available

Foto: Malaysiakini

Permohonan reman terhadap semua suspek dibuat di beberapa mahkamah berasingan pagi tadi.

Di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, seramai 13 individu termasuk empat pegawai penguat kuasa, lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam dibenarkan reman selama tiga hari sehingga 12 September.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, tiga pegawai penguat kuasa dikenakan reman selama empat hari sehingga 13 September, manakala dua lagi pegawai penguat kuasa direman lima hari sehingga 14 September.

Di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, lapan pegawai penguat kuasa pula direman selama tujuh hari sehingga 16 September.

image is not available

Foto: Malaysiakini

Manakala di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, seorang pegawai penguat kuasa direman lima hari sehingga 14 September.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Sumber: Berita Harian (Nor Azizah Mokhtar)