COVID-19: Malaysia Catat 0 Kematian Semalam, Kali Pertama Sejak 18 Bulan

20 Jun 2022 • 1:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jumlah kematian tertinggi akibat COVID-19 yang direkodkan sepanjang 2022 ialah sebanyak 115 kes iaitu pada 2 Mac lalu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Buat pertama kalinya Malaysia merekodkan sifar kematian sejak 18 bulan lalu akibat jangkitan COVID-19, semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kali terakhir negara mencatatkan tiada kematian bagi COVID-19 adalah pada 18 Disember 2020.

“Hari ini, buat pertama kali sejak 18 Disember 2020, Malaysia melaporkan sifar kematian akibat COVID-19.

“Peralihan berterusan kita kepada fasa endemik telah ditentu ukur dan dipacu oleh data. Sama-samalah kita berdoa agar ia terus membuahkan hasil,” katanya menerusi ciapan di Twitter, tengah malam tadi.

Untuk rekod, jumlah kematian tertinggi direkodkan sepanjang 2022 ialah sebanyak 115 kes pada 2 Mac lalu.

Sehingga semalam, kumulatif kematian akibat COVID-19 kekal pada 35,732 kes, termasuk 7,579 kes BID.

Sementara itu, angka jangkitan COVID-19 dalam negara kembali menurun dengan 1,690 kes baharu direkodkan semalam, berbanding 2,127 kes kelmarin.

Berdasarkan data pada laman web COVIDNOW, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan kini meningkat kepada 4,540,612 kes.

Jumlah direkodkan itu membabitkan 1,680 kes tempatan dan 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 22,944 kes aktif COVID-19 dilaporkan di seluruh negara.

Daripada jumlah kes aktif itu, 96 peratus atau 24,906 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, 15 kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), sementara 1,000 orang atau 3.9 peratus menerima rawatan di hospital.

Sebanyak 23 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 15 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdapat 2,108 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,478,936 kes. - Getaran, 20 Jun 2022