CPC Berpotensi Wujudkan Ancaman Baharu, Perlu Pastikan Pengkuatkuasaan Berkesan - Pakar

LocalTechnology
23 May 2026 • 9:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

CPC Berpotensi Wujudkan Ancaman Baharu, Perlu Pastikan Pengkuatkuasaan Berkesan - Pakar

KUALA LUMPUR - Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang baru dikuatkuasakan di Malaysia dibimbangi bakal mewujudkan ancaman baharu terhadap keselamatan siber dan privasi pengguna.

Walaupun rangka kerja itu disambut baik sebagai langkah penting menangani peningkatan risiko digital dihadapi golongan bawah umur, pakar berpandangan, keberkesanan dasar bergantung sepenuhnya kepada tahap penguatkuasaan, ketelusan pemantauan serta keupayaan pihak berkuasa memastikan data peribadi pengguna tidak disalah guna.

Pakar perunding pediatrik dan aktivis hak kanak-kanak kurang upaya, Dr Amar Singh HSS berkata, kawalan lebih ketat terhadap penggunaan platform digital semakin diperlukan memandangkan kanak-kanak kini terdedah kepada media sosial dan internet sedari awal. 

Namun, beliau mengingatkan,  sistem pengesahan umur yang terlalu ketat boleh menyebabkan platform digital mengumpul lebih banyak data sensitif pengguna, sekali gus meningkatkan risiko kebocoran maklumat dan serangan siber.

“Kebimbangan utama terhadap sistem pengesahan umur lebih kukuh ialah platform perlu mengumpul data yang sangat sensitif. Data seperti ini menjadi sasaran bernilai tinggi kepada penggodam,” katanya seperti dilaporkan The Star.

Jelas Dr Amar, kebanyakan sistem pengesahan mungkin memerlukan ibu bapa atau kanak-kanak mengemukakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport atau imbasan biometrik wajah, sekali gus menambah jumlah maklumat sulit yang disimpan syarikat teknologi.

Tegasnya, rekod keselamatan siber di Malaysia yang pernah berdepan beberapa insiden kebocoran data sebelum ini telah menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap tahap perlindungan digital negara.

“Kita tidak mempunyai rekod keselamatan data yang benar-benar meyakinkan di peringkat tempatan kerana beberapa insiden kebocoran maklumat pernah berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan sama ada mekanisme audit dan pemantauan bebas sudah diwujudkan, bagi memastikan syarikat media sosial benar-benar memiliki tahap keselamatan data yang mencukupi.

“Memang menjadi tanggungjawab pengendali media sosial untuk menjaga keselamatan data pengguna, tetapi siapa yang akan memantau tahap keselamatan mereka?” katanya lagi.

Sementara itu, pakar keselamatan siber Fong Choong Fook menyifatkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak sebagai satu perubahan penting dalam landskap kawal selia digital negara, namun penguatkuasaan tidak boleh bergantung semata-mata kepada pematuhan sukarela oleh platform teknologi.

Beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan pasukan petugas atau badan pemantau khusus bagi memastikan pelaksanaan kod tersebut dipatuhi sepenuhnya oleh syarikat media sosial.

“Selain penggubalan peraturan, perlu ada badan pemantau yang mengawasi pelaksanaan dasar oleh pengendali platform,” katanya.

Choong Fook berkata, golongan muda yang celik teknologi masih berpotensi memintas sekatan yang dikenakan walaupun kawalan digital diperketatkan.

“Generasi muda hari ini sangat kreatif,” katanya. - Getaran, 23 Mei 2026