Crest Group meterai penjanjian taja jamin dengan MIDF Investment untuk IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2024 • 4:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Crest Group meterai penjanjian taja jamin dengan MIDF Investment untuk IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

herman

21/08/2024 - 16:26

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Penyedia pengimejan, analitik dan penyelesaian ujian, Crest Group Berhad (Crest) memeterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Amanah Investment Bank Berhad (MIDF Investment) untuk tawaran awam permulaan (IPO) syarikat tersebut di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

Pelaksanaan IPO ini melibatkan terbitan awam sebanyak 130.7 juta saham biasa baru dan tawaran untuk penjualan sebanyak 103.89 juta saham biasa sedia ada.

Daripada 130.7 juta saham baharu, 43.28 juta saham akan diperuntukkan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian, 12.98 juta akan diperuntukkan kepada pengarah dan kakitangan yang layak, dan baki 74.44 juta saham disediakan kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri melalui penempatan persendirian.

Menurut perjanjian pengunderaitan, MIDF Investment akan menjamin sejumlah 56.26 juta saham iaitu bahagian saham terbitan yang akan diperuntukkan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian dan untuk permohonan oleh pengarah dan kakitangan yang layak.

Crest dan kumpulan subsidiarinya terlibat terutamanya dalam penyediaan penyelesaian pengimejan, analitik, dan ujian yang digunakan terutamanya untuk pemeriksaan kualiti, analisis sampel, dan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Penyelesaian ini memenuhi keperluan pelbagai industri, termasuk semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), akademik, automotif, minyak dan gas, penerbangan, sains hayat, dan penjagaan kesihatan.

Selain daripada perkhidmatan penyelesaian utama, Kumpulan juga menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang merangkumi sokongan teknikal dan perkhidmatan penyelenggaraan.

Dari segi geografi, Kumpulan mempunyai operasi perniagaan dan pejabat di Malaysia, China, Thailand dan Singapura.

Hasil kasar daripada IPO ini telah diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan, pembelian peralatan demonstrasi tambahan untuk pejabat di Malaysia, China dan Thailand, mengembangkan pasukan sokongan teknikal dan penyelenggaraan untuk perkhidmatan selepas jualan dan menubuhkan ibu pejabat baharu untuk menampung pengembangan perniagaan serta memusatkan operasi di kawasan tengah Malaysia.

Syarikat juga berhasrat untuk menubuhkan pejabat baharu di Chengdu dan Shenzhen serta menggaji kakitangan baru untuk pengembangan di pasaran China dan Thailand, sambil menubuhkan pejabat pertamanya di Ho Chi Minh, Vietnam.

Pengarah Urusan Kumpulan Crest, Lim Siong Wai berkata, dengan pengalaman lebih dua dekad sejak ditubuhkam pada tahun 1999, Crest telah membangunkan pengetahuan industri dan kepakaran teknikal yang signifikan untuk membantu pelanggan merentasi pelbagai industri.

"Penyelesaian kami meningkatkan pemeriksaan kualiti dan kecekapan operasi. Perjanjian taja jamin ini merupakan batu loncatan penting dalam perjalanan IPO kami.

"Kami percaya penyenaraian ini bukan sahaja membolehkan kami melayani pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan dengan lebih baik, tetapi status penyenaraian yang baru juga akan meningkatkan kredibiliti Kumpulan kami semasa terus mengembangkan kehadiran kami di pasaran sedia ada dan baru.

"Selain itu, kami berharap dapat mengekalkan dan menarik bakat sedia ada dan baru untuk memacu pengembangan perniagaan kami pada masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDF adalah Penasihat Utama, Penaja, Penjamin dan Ejen Penempatan untuk IPO ini.- DagangNews.com