CRIF OMESTI lantik Nurman Rummel Sanusi sebagai CEO baharu

Business & Finance
9 Aug 2023 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CRIF OMESTI lantik Nurman Rummel Sanusi sebagai CEO baharu

zulfadli

09/08/2023 - 09:40

KUALA LUMPUR 9 Ogos - CRIF, peneraju dalam rumusan biro kredit, maklumat perniagaan dan risiko kredit mengumumkan pelantikan Nurman Rummel Sanusi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CRIF OMESTI, sebuah entiti milik CRIF Group.

CRIF OMESTI adalah sebuah agensi pelaporan kredit terkemuka dan merupakan pelaburan bersama antara CRIF dan pembekal penyelesaian teknologi OMESTI, sebuah syarikat senaraian awam yang berpangkalan di Malaysia.

Dalam peranan baharunya, Rummel akan bertanggungjawab untuk mengembangkan rangkaian luas rumusan maklumat CRIF untuk institusi kewangan, syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk pelaporan kredit dan data risiko kredit dan perkhidmatan analitik di Malaysia.

Pengarah Urusan Asia CRIF, Simone Lovati berkata, pihaknya berbesar hati kerana Rummel dapat menyertai pasukan kepimpinan mereka.

"Beliau membawa banyak pengalaman, amalan terbaik dan kemahiran yang akan memainkan peranan penting semasa memimpin pasukan Malaysia untuk memacu kejayaan CRIF dalam negara dinamik ini," katanya dalam kenyataan media di sini.

Rummel berkata, beliau amat teruja untuk menyertai CRIF, dan komited untuk mengembangkan perniagaan ini.

"Saya berharap untuk bekerja rapat dengan kepimpinan rantauan CRIF Asia untuk menguatkan dan mengembangkan kehadiran dan perniagaan syarikat ini di Malaysia," katanya.

image is not available
Simone Lovati

Rummel menyertai CRIF dari eCOURTS, sebuah bahagian daripada OMESTI Bhd, yang mana beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi.

Dalam kerjaya yang menjangkau lapan tahun di eCOURTS, beliau menerajui pembangunan dan pelaksanaan eCOURTS, rumusan infrastruktur mahkamah digital proprietari syarikat tersebut.

CRIF telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 2016. Selain daripada menawarkan perkhidmatan maklumat perniagaan, CRIF juga membekalkan perundingan, alat analisis dan perisian untuk menukar data kepada keputusan perniagaan yang berharga kepada perniagaan. - DagangNews.com