CTOS berdepan risiko serius, saman serupa mungkin menyusul - Kenanga Research

Business & Finance
12 Mar 2024 • 12:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CTOS berdepan risiko serius, saman serupa mungkin menyusul - Kenanga Research

herman

12/03/2024 - 12:12


KUALA LUMPUR 12 Mac - Kenanga Rsearch menurunkan penarafan CTOS Digital Berhad kepada 'Underperform', bersamaan dengan saranan'Jual',

Firma penyelidikan itu juga menurunkan harga sasaran CTOS Digital kepada RM1.15 sesaham daripada RM2.00 sebelum ini.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan CTOS Data Systems tidak mempunyai hak kuasa undang-undang untuk merumuskan skor kredit kerana mereka hanya bertindak sebagai penyimpan maklumat kredit yang boleh diakses pelanggannya.

“Risiko perniagaan nampaknya semakin mendalam dengan kemungkinan kesan serta-merta menjadi cabaran kepada model perniagaannya.

"Malah saman undang-undang serupa boleh timbul dalam tempoh terdekat,” kata Kenanga Investment Bank - merujuk pampasan RM200,000 yang perlu dibayar CTOS kepada pengarah sebuah resort susulan penarafan kredit yang tidak tepat.

CTOS dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia menyatakan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

CTOS Digital mencecah paras terendah RM1.06 semasa dagangan sebelum ini sebelum ditutup hampir 19 peratus lebih rendah kepada RM1.18 sesaham setakat 11.09 pagi.

Jualan pendek dalam saham syarikat itu telah digantung sehingga esok berikutan kejatuhan mendadak harga saham.

Sementara itu, Kenanga Research berkata, premium risiko yang lebih tinggi berpunca daripada keputusan mahkamah baru-baru ini yang memutuskan bahawa kemudahan pemarkahan atau skor kredit kumpulan telah dilakukan melebihi kapasiti undang-undang mereka.

Katanya, CTOS telah memfailkan rayuan dan dijangkakan produk pemarkahan kreditnya akan menjadi penyumbang besar kepada kumpulan.

"Kami menjangkakan CTOS akan terus beroperasi seperti biasa sehingga keputusan rayuan dibuat.

"Walaupun CTOS tidak mendedahkan bahagian pendapatannya yang dikaitkan secara langsung daripada produk pemarkahan kreditnya atau perkhidmatan maklumat kredit, kita boleh mengumpul bahawa aliran bukan berkaitan kreditnya (iaitu penyelesaian digital) boleh membentuk c.10% daripada jumlah hasilnya," ujarnya. - DagangNews.com

View Original Article