CTOS tawar pengguna Laporan MyCTOS dengan CCRIS secara percuma mulai 21 Februari hingga 21 Mac 2024

23 Feb 2024 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CTOS tawar pengguna Laporan MyCTOS dengan CCRIS secara percuma mulai 21 Februari hingga 21 Mac 2024

zulfadli

23/02/2024 - 09:15

KUALA LUMPUR 23 Feb - CTOS Digital Bhd menawarkan Laporan MyCTOS dengan CCRIS secara percuma kepada pengguna sebagai inisiatif berterusan untuk memperkasakan pengguna menguruskan kesihatan kredit mereka.

Agensi pelaporan kredit negara itu memaklumkan, kempen itu berlangsung dari 21 Februari hingga 21 Mac 2024 dan tertakluk kepada sesiapa yang mendaftar untuk perkhidmatan semakan sendiri CTOS melalui laman web CTOS.

Selain itu katanya, rakan kongsi RinggitPlus dan iMoney akan bersama-sama dengan CTOS dalam kempen ini untuk meningkatkan kesedaran kepada pengguna.

Katanya, laporan MyCTOS dengan CCRIS menyediakan maklumat terperinci daripada laporan CCRIS asas kerana ia mengandungi maklumat CTOS yang eksklusif seperti butiran kes undang-undang, kebankrapan, maklumat lembaga pengarah syarikat, kepentingan perniagaan serta hutang bukan bank (rujukan perdagangan).

"Ia juga sebagai tambahan kepada maklumat CCRIS (data hutang, sejarah pembayaran untuk pinjaman dan kad kredit, baki akaun, had kredit dan pertanyaan).

"Institusi kewangan dan pemberi pinjaman merujuk kepada maklumat-maklumat ini semasa menilai permohonan kredit," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS, Erick Hamburger berkata, musim perayaan utama adalah masa yang mana orang ramai cenderung untuk berbelanja lebih.

image is not available
Erick Hamburger

"Kita baru sahaja menyambut Tahun Baharu Cina dan Hari Raya semakin hampir, menjadikannya lebih penting untuk mengetahui keadaan kewangan kita. Cara mudah untuk memahami komitmen kredit semasa adalah dengan menyemak laporan kredit anda.

"Melalui kempen MyCTOS dengan CCRIS percuma ini, kami boleh memberi bantuan kepada pengguna untuk memahami kapasiti kredit mereka, mengesan potensi penipuan, dan membantu mereka membuat rancangan kewangan yang lebih baik untuk masa depan yang lebih baik," katanya.

Menurut kenyataan itu, lebih daripada 3.6 juta rakyat Malaysia mengambil langkah pertama ke arah kesihatan kewangan yang lebih baik dengan mendaftar untuk semakan sendiri CTOS.

Katanya, CTOS melaksanakan pelbagai program celik kewangan di seluruh Malaysia untuk meningkatkan tahap literasi kewangan orang ramai untuk menguruskan reputasi kredit mereka dengan lebih baik.

"Ini membawa kepada pemahaman lebih mendalam dalam kalangan pengguna Malaysia tentang nilai melakukan semakan sendiri untuk mengetahui kesihatan kredit mereka dan memastikan perancangan kewangan dan akses yang lebih baik kepada kredit," katanya. - DagangNews.com