JEDDAH - Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya memberi tumpuan utama kepada aspek kesihatan berikutan keadaan cuaca di Makkah yang semakin panas ketika ini, khususnya selepas selesai menunaikan ibadah umrah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, tempoh awal ketibaan perlu dimanfaatkan untuk berehat secukupnya bagi memulihkan tenaga selepas perjalanan jauh dari tanah air.
“Selepas perjalanan jauh dari Malaysia dan menunaikan umrah, jemaah dinasihatkan supaya berehat secukupnya bagi memulihkan tenaga.
“Dalam keadaan cuaca yang semakin panas, jemaah juga perlu memastikan pengambilan air mencukupi, mengambil ubat seperti ditetapkan serta menjaga kesihatan sebagai persediaan menghadapi ibadah haji,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Beliau berkata, fasa sebelum wukuf merupakan tempoh penting yang memerlukan jemaah berada pada tahap kesihatan terbaik kerana ibadah haji menuntut ketahanan fizikal yang tinggi.
Sementara itu, Hisham memaklumkan setakat ini proses ketibaan serta pergerakan jemaah haji Malaysia berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.
Katanya, pematuhan terhadap peraturan termasuk penggunaan permit haji sah melalui sistem ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi turut membantu melancarkan urusan pergerakan jemaah ke Makkah.
“Alhamdulillah, semua proses berjalan dengan baik dan kita harap keadaan ini berterusan sehingga semua jemaah tiba,” katanya.
Musim haji 2024 sebelum ini merekodkan suhu antara tertinggi dalam sejarah dengan bacaan mencecah 51.2 darjah Celsius, sekali gus menggambarkan cabaran cuaca panas ekstrem yang perlu dihadapi jemaah.



