Cuaca panas: 14 kawasan tahap berjaga-jaga, tiga lagi gelombang haba

LocalEnvironment
24 Mar 2026 • 5:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 24 MAC: Sebanyak 14 kawasan di utara Semenanjung berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) susulan cuaca panas berterusan sejak beberapa hari lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan terlibat meliputi Perlis serta beberapa daerah di Kedah iaitu Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

Turut terjejas ialah Timur Laut dan Utara di Pulau Pinang, selain Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak.

Dalam pada itu, tiga kawasan di Kedah iaitu Pokok Sena, Pendang dan Baling kekal berada pada Tahap 2 (gelombang haba).

Tahap gelombang haba ialah suhu maksimum harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, Tahap 1 merujuk kepada suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius dalam tempoh sama.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengurangkan aktiviti luar, memastikan pengambilan air mencukupi serta memantau tahap kesihatan.

Maklumat terkini status cuaca panas boleh dirujuk melalui laman rasmi MetMalaysia.