
MARANG: Takungan air di semua empangan di Terengganu berada pada tahap mencukupi, walaupun berdepan dengan keadaan cuaca panas dan kering sehingga Oktober ini.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (gambar) berkata bagaimanapun pihaknya terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan rakyat di negeri itu tidak menerima kesan serius jika fenomena El Nino melanda terutama dari segi bekalan air.
“Agensi-agensi dalam kerajan negeri telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan tiada gangguan teruk terhadap rakyat termasuk dalam aspek bekalan air.
“Buat masa ini air di empangan cukup, tiada masalah... sekarang bulan Mei dan jika cuaca kering ini sehingga bulan 10 pun, insya-Allah bekalan mencukupi, masuk bulan 11 dah mula monsun (musim monsun timur laut),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rhu Rendang di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk menentukan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang atau sebaliknya.
“Ini bukan hak saya untuk buat keputusan (bertanding kerusi DUN mana) walaupun (saya) Naib Presiden PAS. Apa-apa juga (keputusan) ditentukan oleh kepimpinan tertinggi,“ katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Rhu Rendang selepas memperoleh 13,851 undi, menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi); dan calon Parti Keadilan Rakyat, Sarawi Sulong (729 undi). -Bernama



