Cuaca panas: Anak perlu dibekal minuman secukupnya, sekolah diingat patuh garis panduan

LocalFamily & Parenting
17 Feb 2025 • 10:22 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kah Woh (tiga dari kiri) menyerahkan beg cenderahati kepada murid-murid Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan 2025/2026 di SJKC Chung Tack, Ipoh pada Isnin.

image is not available
Kah Woh (dua dari kiri) beramah mesra dengan murid Tahun Satu di SJKC Chung Tack di Ipoh pada Isnin.

IPOH - Kementerian Pendidikan (KPM) menasihatkan ibu bapa untuk membekalkan air minuman mencukupi untuk keperluan anak-anak berikutan cuaca panas dan kering yang dijangka melanda kebanyakan tempat dari Februari sehingga Mei depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sebarang aktiviti melibatkan murid dan pelajar perlu mengikut Garis Panduan Institusi Pendidikan di bawah KPM Semasa Cuaca Panas yang sedia ada.

"Pihak KPM, Jabatan Pendidikan dan sekolah sentiasa mengikuti perkembangan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dan tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut garis panduan sedia ada.

**media[3011003]**

"Ibu bapa juga digalakkan untuk membekalkan air minuman secukupnya kepada anak-anak mereka dan pihak sekolah akan memastikan bekalan minuman yang mencukupi untuk murid-murid," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Kah Woh berkata, seramai 461,198 murid Tahun Satu mendaftar di seluruh negara bagi sesi persekolahan 2025/2026.

Katanya, jumlah itu meningkat sebanyak 14,116 orang berbanding 447,082 murid pada sesi persekolahan lalu.

"Seramai 460,494 pelajar Tingkatan Satu pula menjadi sebahagian daripada 2,161,435 pelajar yang memulakan sesi akademik tahun ini.

"Sesi persekolahan 2025/2026 bagi Kumpulan A telah bermula semalam melibatkan beberapa negeri dan hari ini bagi Kumpulan B dengan jumlah keseluruhan seramai 5.14 juta orang," katanya.