KOTA KINABALU - Insiden 11 ekor gajah Pygmy Borneo yang terperangkap di dalam kolam terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot, Kinabatangan pada Sabtu lalu berkemungkinan berpunca daripada tingkah laku haiwan itu yang mungkin cuba berkubang untuk menyejukkan badan ketika cuaca panas.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata pihaknya mengambil maklum insiden melibatkan hidupan liar tersebut yang turut berada di kawasan ladang.
"Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada gajah-gajah tersebut memasuki kolam itu dengan sendiri atau terjatuh secara tidak sengaja.
"Namun terdapat juga kemungkinan bahawa gajah-gajah tersebut memasuki kolam secara sukarela akibat cuaca panas ketika ini, memandangkan gajah diketahui mencari air untuk menyejukkan badan melalui aktiviti berkubang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun katanya, tindakan pantas telah diambil oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama pihak pengurusan ladang dengan mengarahkan tebing kolam diratakan bagi membolehkan kawanan gajah tersebut keluar dengan selamat.
"Saya berasa lega kerana kesemua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius atau kematian.
"Insiden ini menjadi peringatan penting bahawa kolam terbiar, parit serta struktur berbahaya lain yang terletak berhampiran laluan pergerakan hidupan liar masih menimbulkan risiko termasuk gajah Pygmy Borneo, iaitu antara spesies paling ikonik dan dilindungi di negeri ini," katanya.
Sehubungan itu, pengusaha ladang diminta untuk memastikan struktur kolam sedemikian tidak dibina di kawasan terdapatnya hidupan liar.
"JHL juga telah mengarahkan pengusaha ladang supaya memastikan struktur kolam seumpama ini tidak dibina tanpa langkah mitigasi yang sewajarnya.
"Sekiranya kolam diperlukan, sekurang-kurangnya satu bahagian tebing perlu dibina dengan cerun yang landai dan bukannya dinding menegak yang curam bagi membolehkan hidupan liar keluar dengan selamat jika insiden seumpama ini berlaku," katanya.
Tambah beliau lagi, JHL Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan pengusaha ladang, komuniti setempat dan rakan konservasi bagi memperkukuh langkah perlindungan hidupan liar, meningkatkan keupayaan tindak balas pantas serta memastikan aktiviti pembangunan di kawasan berhampiran koridor ekologi dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.
"Melindungi biodiversiti Sabah adalah tanggungjawab bersama. Kejayaan operasi menyelamat ini membuktikan kepentingan laporan awal, kerjasama serta komitmen kolektif dalam memastikan spesies terancam ini terus kekal untuk generasi akan datang.
"Saya juga merakamkan penghargaan kepada JHL Sabah, renjer lapangan, kakitangan ladang serta semua pihak yang terlibat atas tindakan pantas dan profesional dalam menangani situasi ini," katanya.
