Cuaca panas: IPT diberi kelonggaran laksana PdP dalam talian

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 7:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zambry (dua, kanan) ketika menjawab soalan diajukan oleh mahasiswa pada Program Sembang Santai bersama mahasiswa UniSZA dan UMT di Dewan Perdana UniSZA, pada Isnin.

​KUALA NERUS – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan kelonggaran kepada pengurusan universiti di seluruh negara untuk menentukan kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang bersesuaian dengan situasi semasa di kampus masing-masing.

​Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pendekatan tersebut diambil memandangkan keadaan persekitaran di setiap institusi adalah berbeza, khususnya melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan.

​Menurut beliau, pihak universiti mempunyai kuasa untuk mengambil langkah perlu sekiranya keadaan dianggap berada dalam kategori bahaya, termasuklah dalam mendepani isu cuaca ekstrem.

​"Pada dasarnya, dari segi membuat keputusan, kita tidak menghalang mana-mana universiti mengambil langkah perlu untuk mengatasi masalah seperti musim kemarau, banjir dan sebagainya.

​"Pihak pengurusan universiti lebih mengetahui keadaan di kampus mereka dan akan memaklumkan kepada kementerian mengenai tindakan yang diambil," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sembang Santai bersama mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Perdana UniSZA di sini pada Isnin.

​Mengulas lanjut, Zambry berkata, setakat ini beliau difahamkan pihak universiti memilih pendekatan yang lebih anjal, termasuk melaksanakan pengajian secara dalam talian.

​Jelas beliau, langkah itu juga bagi memudahkan urusan pelajar sepanjang bulan puasa dan mengelakkan bebanan untuk berulang-alik ke kampung halaman dalam keadaan yang tidak menentu.

​"Pihak universiti boleh melaksanakan kurikulum secara dalam talian sekiranya mereka merasakan ia perlu. Sebagai contoh, kita pernah melalui fasa ekstrem sewaktu musim Covid-19 dan juga ketika bencana banjir tahun lalu.

​"Waktu itu, ada universiti yang membenarkan pelajar mengikuti kursus secara dalam talian sepenuhnya. Jadi, keputusan ini memang terpulang kepada budi bicara pihak universiti masing-masing," ujarnya lagi.