Cuaca panas: Kebenaran khas murid, guru guna pakaian sukan

LocalHealth & Fitness
25 Mar 2026 • 1:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas perlu diberi pertimbangan oleh institusi pendidikan. - Foto fail Bernama

PUTRAJAYA - Kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas perlu diberi pertimbangan oleh institusi pendidikan.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan, langkah tersebut berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.

Tegas kementerian itu, semua institusi pendidikan bawah KPM perlu peka situasi semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

"KPM mengambil berat aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar KPM, semua institusi pendidikan diminta untuk meningkatkan persediaan dan melaksanakan langkah-langkah bagi menghadapi cuaca panas apabila sekolah kembali dibuka selepas tamat Cuti Penggal Pertama.

Antaranya, penangguhan penganjuran aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celsius dan memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas.

Selain itu, insititusi pendidikan perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.

"Sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman, institusi pendidikan juga perlu membekalkan air minuman kepada murid asrama," jelas KPM.

Fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya dicirikan oleh pengurangan hujan serta keadaan cuaca lebih panas dan kering, terutama di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung.

Kawasan utara Semenanjung seperti Kedah, iaitu Pendang, Baling dan Padang Terap, lebih terdedah kepada cuaca panas berikutan faktor geografi serta corak tiupan angin MTL yang membawa lebih banyak kelembapan ke Pantai Timur dan selatan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.