Cuaca panas makin teruk: Warga emas, kanak-kanak paling berisiko

LocalHealth & Fitness
24 Mar 2026 • 1:57 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 24 MAC: Fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) dalam fasa kering ketika ini meningkatkan risiko kesihatan, terutama kepada warga emas dan kanak-kanak.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang berkata golongan berkenaan perlu mengurangkan aktiviti luar dan memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi.

“Golongan ini lebih mudah terjejas ketika cuaca panas berpanjangan,” katanya seperti dilapor Berita RTM.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhemah menggunakan air susulan pengurangan hujan yang boleh menjejaskan paras empangan dan bekalan air bersih.

MetMalaysia menetapkan tiga tahap amaran cuaca panas iaitu berjaga-jaga (35 hingga 37 darjah Celsius), gelombang haba (37 hingga 40 darjah Celsius) dan gelombang haba ekstrem melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing direkodkan sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.