Cuaca panas melampau bukan kebetulan! Ini amaran ‘sebenar’ yang anda perlu tahu…

LocalEnvironment
6 May 2026 • 11:56 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Cuaca panas melampau bukan kebetulan! Ini amaran ‘sebenar’ yang anda perlu tahu…
Gambar kecil: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Sri Arthur Joseph Kurup

CUACA panas melampau yang melanda negara kebelakangan ini bukan sekadar fenomena biasa, sebaliknya menjadi isyarat jelas bahawa perubahan iklim semakin memberi kesan kepada kehidupan harian rakyat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Sri Arthur Joseph Kurup menerusi perkongsiannya kepada SinarPlus berkata, dengan situasi cuaca ekstrem yang dialami usaha mengurangkan pelepasan karbon tidak boleh ditangguhkan lagi.

"Ia juga menjadi peringatan bahawa usaha mengurangkan pelepasan karbon perlu dilaksanakan dengan lebih serius dan menyeluruh.

"Di peringkat dunia, karbon kini bukan sekadar isu alam sekitar. Ia sudah menjadi faktor penting dalam ekonomi dan perdagangan. Negara yang mampu mengurus pelepasan karbon dengan baik akan lebih berdaya saing, mudah menarik pelaburan dan mempunyai kedudukan lebih kukuh dalam ekonomi global," kongsinya.

Pasaran karbon dianggap penting untuk Malaysia ketika ini. Karbon kini bukan hanya isu alam sekitar, tetapi juga faktor ekonomi dan perdagangan. Negara yang gagal mengurus pelepasan karbon akan hilang daya saing.

"Bagi Malaysia, pasaran karbon kini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan strategik. Kesatuan Eropah, contohnya, memperkenalkan Carbon Border Adjustment Mechanism (CBAM) iaitu mekanisme yang mengenakan kos karbon ke atas produk import yang tinggi pelepasan karbon.

Image from: Cuaca panas melampau bukan kebetulan! Ini amaran ‘sebenar’ yang anda perlu tahu…
Gambar hiasan

"Ini memberi kesan kepada eksport Malaysia terutamanya seperti sektor besi, keluli, aluminium dan simen. Jika produk tidak memenuhi piawaian karbon antarabangsa, kos tambahan akan dikenakan apabila memasuki pasaran luar negara dan ini boleh menjejaskan daya saing industri kita.

"Bagi menghadapi cabaran ini, kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) telah memperkenalkan Dasar Pasaran Karbon Negara (DPKK)," kongsinya.

Beliau turut menambah, dasar berkenaan bertujuan memastikan Malaysia bersedia menghadapi perubahan ekonomi global ke arah rendah karbon dan membantu industri beralih kepada teknologi lebih bersih.

"DPKK telah diluluskan oleh Kabinet pada 1 April 2026 dan mempunyai empat teras utama. Pertama, mewujudkan pasaran karbon berintegriti tinggi yang menyokong mekanisme antarabangsa seperti Perjanjian Paris (Article 6) dan CORSIA untuk sektor penerbangan.

"Kedua, membangunkan infrastruktur seperti pendaftaran karbon negara serta sistem pemantauan, pelaporan dan pengesahan (MRV) bagi memastikan data pelepasan karbon lebih tepat dan telus.

"Ketiga, memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui perjanjian dengan negara seperti Korea Selatan dan Singapura. Keempat, menyokong pengurangan karbon sektor industri melalui dasar seperti cukai karbon atau sistem perdagangan emisi," katanya.

Image from: Cuaca panas melampau bukan kebetulan! Ini amaran ‘sebenar’ yang anda perlu tahu…
Gambar hiasan

Sementara itu, Arthur turut menjelaskan usaha ke arah pengurangan karbon memerlukan pendekatan yang menyeluruh serta sokongan semua pihak, termasuk industri dan pelabur antarabangsa.

"Berdasarkan kajian, Malaysia berpotensi mengurangkan sehingga 56 juta tan karbon dioksida setara menjelang tahun 2030.

"Sebahagian besar pengurangan ini boleh dicapai melalui langkah kos rendah seperti penjimatan tenaga, manakala selebihnya memerlukan teknologi lebih canggih seperti Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS). Melalui pasaran karbon, teknologi ini boleh dilaksanakan dengan lebih meluas kerana mendapat sokongan pelaburan.

"Ramai juga perlu memahami perbezaan antara cukai karbon dan pasaran karbon. Cukai karbon ialah bayaran atau denda kepada pihak yang melepaskan karbon melebihi had yang ditetapkan. Manakala pasaran karbon ialah sistem jual beli kredit karbon, yang mana syarikat yang mengurangkan pelepasan boleh menjual kredit kepada syarikat lain yang masih menghasilkan karbon tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Arthur turut menegaskan bahawa pelaksanaan cukai karbon dan pembangunan pasaran karbon perlu dilihat sebagai pelengkap antara satu sama lain dalam mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon.

"Di Malaysia, cukai karbon dijangka bermula pada tahun 2026, khususnya untuk sektor besi, keluli dan tenaga, manakala pasaran karbon akan melengkapkan sistem ini dengan memberi insentif kepada industri untuk berubah ke arah lebih hijau.

"Pelaksanaan dasar ini juga akan diperkukuh melalui Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). Lebih penting, manfaatnya bukan hanya untuk pelabur besar, tetapi juga kepada rakyat.

"Ia akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu seperti juruaudit karbon dan pakar sistem pemantauan karbon, selain memberi manfaat kepada komuniti tempatan termasuk Orang Asli yang menjaga kawasan hutan sebagai penyerap karbon semula jadi," titipnya lagi.

Mengakhiri perkongsian, Arthur menyimpulkan pasaran karbon bukan lagi sekadar isu alam sekitar, tetapi berkait rapat dengan ekonomi, pekerjaan, pelaburan dan daya saing negara.

"Dengan pelaksanaan dasar yang kukuh serta kerjasama semua pihak, Malaysia berpotensi menjadi peneraju ekonomi karbon di rantau Asia Tenggara dan membina masa depan yang lebih mampan untuk generasi akan datang," katanya.