Cuaca panas: Orang Asli Pos Lebir pilih tinggal di rumah buluh

23 May 2023 • 1:14 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GUA MUSANG: Ramai penduduk dalam kalangan Komuniti Orang Asli Kampung Pasir Linggi dan Kampung Aring 5 di Pos Lebir di sini dilihat membina binaan rumah khas yang diperbuat daripada buluh khusus untuk berteduh pada waktu siang, dalam menangani isu cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Lebih 1,000 masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kini menjadikan rumah buluh atap cucuh sebagai tempat berehat pada siang hari, dan akan kembali ke rumah masing-masing di PPRT berkenaan menjelang waktu malam.

Seorang penduduk Kampung Pasir Linggi Yah Karim, 45, berkata beliau lebih selesa tinggal di rumah buluh itu bersama anaknya Mira Zakaria, 17, ketika ini kerana keadaannya lebih sejuk di waktu siang.

“Di rumah ini keadaannya lebih selesa dan sejuk pada waktu tengah hari dan petang. Saya sengaja memilih untuk berumah di kawasan yang banyak pokok untuk mengelak cuaca panas sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pasir Linggi, di sini.

Bagi penduduk Kampung Aring 5 Rohani Asin, 40, katanya sejak sebulan yang lalu beliau banyak menghabiskan masa di rumah buluh berkenaan kerana anak kecilnya tidak tahan panas.

“Anak saya kerap meragam dan menangis kerana cuaca sangat panas. Walaupun rumah ini hanya ada pintu dan tiada jendela, ia lebih nyaman berbanding keadaan di rumah batu kami,” katanya.

Seorang lagi penduduk dari kampung berkenaan Alias Panjang, 45, pula berkata lokasi rumah buluh yang dibina tidak jauh dari rumah PPRT yang dimiliki.

“Kebiasaannya penduduk memilih untuk membina pondok atau rumah buluh berdekatan rumah batu sendiri kerana mudah untuk berulang-alik balik rumah.

“Sekarang ini kami juga sudah kurang masuk ke hutan. Setiap hari kami hanya melakukan kerja sehingga 11 pagi kerana tidak tahan terdedah dengan cuaca panas,” katanya. -Bernama