
Cuaca Panas: Pastikan Kesihatan Murid Tidak Terjejas - Agong
Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu mengambil perhatian serius perkara ini bagi memastikan kesihatan murid serta pelajar tidak terjejas berikutan fenomena cuaca panas, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Dalam satu hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menitahkan agar rakyat mengamalkan langkah berjaga-jaga berikutan fenomena yang dijangka berterusan hingga awal atau pertengahan Jun ini.
Baginda menasihati rakyat agar menekankan aspek penjagaan kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas. Rakyat turut dinasihat agar memastikan pengambilan air mencukupi.
Mufti Wilayah Jelaskan Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak
Rupanya Ini Sebab Dah Pecut Tapi "ETA" Tak Banyak Berubah
“Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang pembakaran terbuka kerana keadaan panas dan berangin boleh mempercepatkan merebaknya api.
“Warga emas serta kanak-kanak yang mengidap penyakit kronik juga dinasihatkan supaya tidak terdedah dengan cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda, bertitah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut berperanan penting dengan meningkatkan tahap kesiapsiagaan berikutan cuaca panas semasa yang berpotensi mencetuskan peningkatan kes kebakaran.
Menerusi kenyataan berkenaan, Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan dan penyelamat termasuk JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta petugas kesihatan yang sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh cuaca panas ini.


