IPOH - Pusat rekreasi semula jadi menjadi tumpuan orang ramai susulan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Lata Ulu Chepor dan Taman Eko Rimba Kledang Saiong di sini antara lokasi pilihan pengunjung untuk ‘menyejukkan’ badan.
Pengurus Lata Ulu Chepor, Aisah Talib berkata, cuaca panas yang melanda ketika ini menyaksikan peningkatan kehadiran orang ramai ke pusat perkelahan berkenaan.
Menurutnya, biarpun masih dalam suasana Hari Raya Aidilfitri, jumlah kenderaan yang masuk sejak dibuka pada jam 8 pagi telah melebihi separuh kapasiti kawasan tersebut.
**media[3471876]**
"Kawasan ini boleh memuatkan kira-kira 400 kenderaan dan sehingga tengah hari, lebih 200 kenderaan telah masuk.
"Jika musim panas, jumlah kehadiran pengunjung boleh mencecah lebih 1,200 orang sehari. Ada kalanya kawasan ini penuh dan pengunjung terpaksa diminta berpatah balik kerana kekurangan ruang,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Aisah berkata, peningkatan jumlah pengunjung turut didorong oleh cuti sekolah selain masih ada ibu bapa yang menyambung cuti Aidilfitri.
Katanya, Lata Ulu Chepor yang dikelolakan oleh Koperasi Penduduk Ulu Chepor Berhad turut menerima manfaat daripada pertambahan pengunjung tersebut.
"Ketika ini, bayaran masuk dikenakan sebanyak RM5 bagi setiap kereta dan RM1 untuk motosikal. Kita juga menyedia 34 pondok untuk disewa setiap satu dengan kadar RM10 sahaja.
"Pengunjung bukan sahaja terdiri daripada penduduk tempatan, malah ada juga yang datang dari luar Perak untuk menikmati suasana perkelahan di sini,” katanya.
Beliau berkata, aspek keselamatan amat dititikberatkan dan kawasan lata akan ditutup sekiranya hujan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Taman Eko Rimba Kledang Saiong mendapati kawasan perkelahan tersebut mula dipenuhi pengunjung menjelang tengah hari.
Kawasan yang dikelolakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak itu kebanyakannya dikunjungi oleh pengunjung berkeluarga.

