Cuaca panas: Rakyat Kelantan disaran tunaikan solat Istisqa’

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 5:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud

KOTA BHARU – Rakyat Kelantan disaran mengadakan solat sunat istisqa’ susulan cuaca panas yang turut memberi kesan kepada kekurangan bekalan air di beberapa kawasan di negeri ini.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, keadaan itu menuntut umat Islam untuk bermunajat dan memohon pertolongan daripada ALLAH SWT.

“Cuaca panas berpanjangan ini beri kesan termasuk mengurangkan bekalan air di sesetengah kawasan dan kita digalak memperbanyakkan istighfar, bertaubat serta mendekatkan diri kepada ALLAH dalam menghadapi ujian ini.

“Keadaan ini juga peringatan untuk kita bermuhasabah diri, memperbaiki amalan serta meninggalkan perkara yang boleh mengundang kemurkaan ALLAH,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut mengajak seluruh masyarakat agar bersatu hati memohon agar bencana yang melanda diangkat dan dikurniakan hujan yang membawa rahmat serta keberkatan.

“Semoga dengan usaha dan keikhlasan ini, ALLAH mengurniakan kelegaan serta memulihkan kembali kesejahteraan kehidupan rakyat di negeri ini,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved