
Cuba “Check”, Ini Mungkin 6 Punca Yang Buatkan Rumah Berbahang
Ketika musim panas telah tiba, sudah semestinya suhu di rumah anda menjadi lebih berbahang daripada kebiasaannya. Dalam masa sama, kita akan memasang penyaman udara dan kipas bagi memastikan suhu di dalam rumah dapat dikurangkan.
Namun, ada kalanya kita sudah melakukan segala-galanya untuk menjadikan rumah lebih sejuk tetapi suhu di dalam rumah masih panas.
Mungkin anda telah melakukan enam kesilapan ini, yang menyebabkan rumah anda masih dalam keadaan berbahang walaupun sudah membuka penyaman udara dan kipas.
1. Penyaman udara anda terlalu usang
Salah satu kemungkinan adalah penyaman udara anda merupakan model keluaran lebih sedekad lepas dan boleh dikatakan agak usang.
Juruteknik HVAC di Dinomite Heating & Cooling, Caleb Stack, berkata bahawa ini merupakan sebab utama bagi masalah suhu dalaman yang semakin meningkat.
Beliau memberi saranan agar orang ramai menukar unit penyaman udara setiap 12 atau 15 tahun. Ini adalah untuk memastikan perkakas elektrik berkenaan dapat berfungsi dengan baik.
Jika anda merasa sangsi berkenaan bilakah waktu yang sesuai untuk menggantikan unit penyaman udara, Stack telah berkongsi beberapa tanda-tanda yang boleh diperhati pada perkakas rumah anda.
“Tempoh masa penggunaaannya merupakan salah satu petunjuk besar untuk anda menggantikannya.
“Jika unit penyaman udara anda sering dihidupkan tetapi suhunya tidak memuaskan, inilah masa untuk menukarnya,” katanya.

2. Penebat haba dan loteng yang tidak sesuai
Penebat pada rumah dan loteng yang bersesuaian akan memastikan suhu di dalam rumah konsisten dan memastikan anda merasa selesa sepanjang tahun.
Jika bahagian ini tidak ditebat dengan baik, ini akan menyebabkan anda terseksa di dalam persekitaran dalaman rumah yang sangat bahang.
Pada masa yang masa, ini akan menyebabkan anda terpaksa menggunakan penyaman udara dalam jangka masa yang agak lama serta memerangkap lembapan pada kadar yang agak tinggi.
3. Tingkap dan pintu tidak ditutup dengan betul
Stack berkata, berkemungkinan rumah anda terasa sangat bahang jika tingkap-tingkap dan pintu tidak ditutup dengan betul.
Ruangan pada bahagian ini akan membenarkan aliran udara panas untuk terperangkap di dalam rumah. Apabila perkara ini berlaku, penyaman udara anda terpaksa bekerja keras untuk menyejukkan rumah serta menghasilkan kadar kelembapan yang tinggi di dalam rumah.
Salah satu cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan melakukan sedikit DIY. Anda boleh memastikan ruangan pada tingkap dan rumah anda dalam keadaan baik dengan menggunakan expandable spray foam atau foam insulation tape.
Kedua-dua bahan ini boleh ditemui dengan mudah di kedai-kedai peralatan rumah.
4. Ductwork yang tidak bersesuaian
Ductwork atau kerja saluran bertanggungjawab untuk ‘memindahkan’ udara sejuk dari luar rumah ke dalam rumah anda. Jika rumah anda terlalu bahang, seakan-akan tidak ada udara sejuk di dalamnya, mungkin ada perkara yang tidak kena pada saluran tertentu.
Difahamkan, ductwork yang bermasalah berpunca daripada kaedah pemasangan yang tidak tepat, menyebabkan udara sejuk terbebas dan tidak masuk ke dalam rumah anda.
5. Tidak menyelenggara unit penyaman udara secara tahunan.

Menyelenggara unit penyaman udara adalah penting bagi menyediakan suhu yang bersesuaian ketika di dalam rumah. Pada masa yang sama, tindakan ini dapat memastikan kita dapat menggunakan perkakas berkenaan dalam jangka masa yang agak panjang.
Selain menggantikan unit penyaman udara setiap 12 hingga 15 tahun, unit penyaman udara juga perlu diselenggara bagi memanjangkan jangka hayat penggunaannya di rumah.
“Sangat disarankan untuk memanggil pakar datang ke rumah dan memeriksa penyaman udara anda sebanyak dua kali setahun,” kata Stack.
Dia juga menjelaskan mengenai apa yang boleh memanjangkan jangka hayat penyaman udara dan memastikan prestasinya konsisten.
“Pastikan anda menukar penapis dalaman anda secara rutin dan unit luar anda kekal bersih dan bebas daripada kotoran atau serpihan,” ujarnya.
6. Tidak menukar penapis dalaman pada penyaman udara
Fungsi penapis dalaman adalah untuk memastikan pengaliran udara dan memerangkap debunga, debu, alergen dan beberapa zarah lain di ruang udara.
Dengan erti kata lain, penapis ini menapis segala bendasing di ruang udara dan memastikan udara di dalam rumah dalam keadaan bersih.
Stack menyarankan agar penapis ini ditukar sekali dalam masa sebulan hingga tiga bulan. Selain itu, jika penapis memerangkap terlalu banyak habuk sehingga tersumbat, ini juga merupakan masa untuk menukar penapis baharu.
Sumber: The Spruce
The post Cuba “Check”, Ini Mungkin 6 Punca Yang Buatkan Rumah Berbahang appeared first on Siakap Keli.

