Cuba Kembalikan Lagu Rakyat, “Malaysia MADANI Rakyat Disantuni” Imbau Era Pak Ngah
“Affan Mazlan” ialah nama yang mungkin masih baharu bagi sesetengah orang.
Namun, dalam penciptaan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), beliau kini antara figura penting yang semakin mendapat tempat.
Bayangkan, tiga tahun berturut-turut diberi kepercayaan untuk menggubah lagu tema rasmi negara, bukan calang-calang tanggungjawabnya.
Bermula dengan “Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” (2023), diikuti “Malaysia MADANI Jiwa Merdeka” (2024), kini anak jati Seremban ini tampil pula dengan karya terbaharunya berjudul “Malaysia MADANI Rakyat Disantuni”, lagu rasmi HKHM 2025.
Lebih menarik lagi, lagu ini diserikan dengan suara emas penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Cipta kelainan untuk HKHM 2025
Tidak seperti lagu-lagu tema sebelumnya yang lebih bersemangat dan moden, lagu tahun ini tampil dengan pendekatan berbeza.
Affan memilih untuk menyuntik unsur tradisional rakyat dan nostalgia zaman dahulu.

Menurutnya, lagu-lagu rakyat klasik seperti yang pernah dicipta arwah Pak Ngah satu masa dahulu masih dekat di hati rakyat, tanpa mengira usia.
“Lagu-lagu macam ni kita masih dengar sampai sekarang, tua atau muda semua boleh nyanyi. Jadi saya cuba tackle elemen tu dalam lagu ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Affan turut mendedahkan bahawa rujukan utama semasa menghasilkan lagu ini ialah lagu ikonik “Kurik Kundi” nyanyian Siti Nurhaliza sendiri.
Lagu itu menjadi inspirasi utama dalam usahanya menyampaikan semangat rakyat dalam gaya yang lebih moden dan mudah diterima semua.
Selain itu, Affan juga berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Siti Nurhaliza amat mengujakan, malah jauh melebihi jangkaannya sebagai komposer.
“Sekali record terus perfect.” – Affan
Dalam temu bual eksklusif, Affan tidak menyembunyikan rasa kagumnya terhadap peribadi Siti Nurhaliza.
“Saya boleh cakap, sangat senang dan sangat pantas. Untuk proses rakaman di RTM baru-baru ini, beliau sangat memudahkan kerja,” katanya.
Menurut Affan lagi, Siti Nurhaliza bukan sekadar hadir untuk menyanyi. Sebaliknya, beliau datang dengan persediaan lengkap dan juga idea-idea kreatif untuk menambah baik penyampaian lagu.
“Beliau jenis yang akan buat homework. Jadi bila datang studio, dia pun bagi idea-idea dia sendiri untuk menjayakan lagu itu,” tambah Affan.
“Kulit mungkin lain warna tapi dalam hati kita masih samalah kita semua orang Malaysia.” – Affan
Dalam pada itu, Affan berharap agar melalui lagu ini, rakyat Malaysia yang datang daripada pelbagai latar belakang dapat belajar untuk saling memahami dan membuka diri terhadap budaya-budaya lain.
Dengan cara itu, hubungan antara kaum akan menjadi lebih erat, dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat akan terus diperkukuh.
The post Cuba Kembalikan Lagu Rakyat, “Malaysia MADANI Rakyat Disantuni” Imbau Era Pak Ngah appeared first on Siakap Keli.
