
KUALA LUMPUR - Seorang wanita tempatan yang ditahan selepas cuba menyerang Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah disahkan memiliki rekod rawatan psikiatri.
Insiden serangan itu berlaku ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Ipoh, pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek disahkan memiliki rekod rawatan psikiatri dan berjaya ditahan selepas memasuki pentas dari bahagian tepi, ketika lagu Negaraku sedang dimainkan.
Menurut beliau, suspek yang berusia 41 tahun turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah.
“Ujian air kencing yang dijalankan hari ini bagaimanapun mendapati dia negatif dadah.
“Tetapi dia memiliki rekod rawatan psikiatri dan masih menjalani rawatan bersama Pakar Neurologi di Hospital Raja Perempuan Bainun,” katanya.
Getaran diberitahu, siasatan dibuat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
Menerusi rakaman video yang tular media sosial, dapat dilihat dengan jelas seorang wanita meluru ke arah Sultan Nazrin dan menarik tangan baginda.
Sultan Nazrin bagaimanapun kelihatan tenang dan meneruskan acara. - Getaran, 31 Ogos 2025

