Cubaan kedua RHB Bank jual unit insurans am kepada Tokio Marine dilihat lebih cerah - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
12 May 2026 • 5:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cubaan kedua RHB Bank jual unit insurans am kepada Tokio Marine dilihat lebih cerah - Penganalisis Image from: Cubaan kedua RHB Bank jual unit insurans am kepada Tokio Marine dilihat lebih cerah - Penganalisis hamden12/05/2026 - 17:35 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Mei - Pelan pelupusan unit insurans am RHB Bank Berhad kepada Tokio Marine Holdings Inc dilihat kembali memperoleh momentum lebih kukuh berbanding percubaan yang gagal pada 2018, menurut penganalisis pasaran. 

 

CIMB Securities berkata, kemungkinan pemuktamadan urus niaga itu kini bergantung kepada penetapan harga serta penciptaan sinergi antara kedua-dua pihak, namun keyakinan terhadap kejayaan transaksi kali ini adalah lebih tinggi.

 

Katanya, faktor penyokong utama termasuk kejayaan RHB, Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad memeterai perjanjian bancassurance eksklusif selama 20 tahun pada 1 Ogos 2025, yang mewujudkan model operasi bersepadu dalam segmen insurans dan takaful.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini telah memberi kelulusan kepada RHB untuk memulakan rundingan dengan Tokio Marine Asia bagi cadangan penjualan sehingga 100% pegangan dalam RHB Insurance Berhad.

 

Ini merupakan percubaan kedua selepas cadangan pada 2018 untuk menjual sehingga 94.7% pegangan dalam perniagaan insurans am kepada Tokio Marine terpaksa dibatalkan.

 

Entiti Insurans Gabungan Baharu Diwujudkan

Di bawah struktur baharu, sebuah entiti insurans am gabungan akan diwujudkan, dengan RHB Bank Berhad dijangka memegang sehingga 35% kepentingan dalam syarikat berkenaan.

 

BNM menetapkan semua pihak perlu menamatkan rundingan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh surat kelulusan, selain memerlukan kelulusan Menteri Kewangan sebelum sebarang perjanjian dimuktamadkan.

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata urus niaga ini dilihat lebih berdaya maju kerana beberapa sebab.

 

Kepada Tokio Marine, ia membantu menyelesaikan isu pegangan asing serta membolehkan Tokio Marine mematuhi had pemilikan asing dalam syarikat insurans tempatan.

 

RHB Bank pula kata Maybank IB, langkah itu dijangka membuka nilai perniagaan unit insuransnya serta meningkatkan pulangan ke atas ekuiti.

 

Urus niaga ini juga akan mengubah model perniagaan RHB Bank Berhad daripada model “memiliki dan menaja jamin” kepada model bancassurance berasaskan pengagihan yang lebih ringan dari segi modal, dengan penyertaan pegangan minoriti, menurut CIMB Securities.

 

Anggaran Keuntungan dan Kos

Pengiraan kasar oleh Maybank IB menunjukkan pegangan 35% dalam entiti gabungan itu dijangka menjana keuntungan bersih sekitar RM103 juta. Jumlah ini mewakili peningkatan 9% kepada keuntungan bersih RHB Insurance Berhad bagi FY2025, atau kenaikan 0.3% kepada keuntungan kumpulan RHB Bank Berhad.

 

Berdasarkan nisbah harga kepada nilai buku (price-to-book value, PBV) sebanyak 1.4 kali, kos untuk Tokio Marine Holdings Inc bagi memperoleh 100% pegangan dalam RHB Insurance dianggarkan sekitar RM1.05 bilion.

 

Dalam pada itu, kos bagi RHB Bank Berhad untuk memiliki 35% pegangan dalam entiti gabungan baharu pula dianggarkan hampir sama iaitu sekitar RM1.03 bilion, sekali gus menunjukkan impak kewangan yang neutral kepada kedua-dua pihak.

 

Sementara itu, CIMB Securities berkata penggabungan tersebut dijangka neutral terhadap nisbah modal RHB Bank Berhad di peringkat bank, memandangkan ia tidak memerlukan suntikan modal tambahan daripada pemegang saham bagi pelaksanaan urus niaga ini.

 

Sebaliknya, pelaburan modal dijangka akan dibiayai melalui dana dalaman yang dijana oleh bank, menurut firma penyelidikan itu.

 

Saranan 'BELI" Kekal

CIMB Securities mengekalkan saranan “beli” ke atas RHB Bank dengan harga sasaran RM9.55. Maybank IB turut mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran tidak berubah RM9.40.

 

Firma itu berkata RHB kini diniagakan pada penilaian harga kepada nilai buku (PBV) FY2026 yang menarik iaitu 1.0 kali, lebih rendah berbanding purata sektor sebanyak 1.2 kali.

 

Dalam masa sama, bank berkenaan menawarkan hasil dividen menarik sekitar 6.5% hingga 6.9% bagi FY2026 hingga FY2027, disokong oleh penampan modal yang kukuh serta peruntukan kerugian pinjaman yang sihat.

 

Secara keseluruhan, CIMB Securities menyifatkan RHB Bank Berhad sebagai peluang pelaburan yang “menarik”. - DagangNews.com

Terkini featured standard