Cubaan lari gagal, 38 pekerja warga asing dicekup dalam Ops Selera

21 May 2026 • 1:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cubaan lari gagal, 38 pekerja warga asing dicekup dalam Ops Selera
Seramai 38 warga asing ditahan dalam serbuan imigresen di beberapa premis kedai makan sekitar Johor Bahru.
Image from: Cubaan lari gagal, 38 pekerja warga asing dicekup dalam Ops Selera
Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menggempur beberapa premis kedai makan di sekitar Johor Bahru menerusi Ops Selera sehingga membawa kepada penahanan 38 pekerja asing pada Rabu.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa Negeri Johor hasil risikan serta pemantauan berterusan susulan aduan awam.

"Beberapa individu cuba meloloskan diri ketika serbuan dilakukan, namun keadaan berjaya dikawal oleh pegawai penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah,” menurut kenyataan itu.

**media[3528034]**

Turut ditahan dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus premis bagi membantu siasatan.

Daripada keseluruhan tangkapan, seramai 24 lelaki dan 14 wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 50 tahun dipercayai bekerja sebagai tukang masak dan pelayan restoran.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut, manakala tiga Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan," ujarnya.