Cubaan pecah rumah terbongkar, suspek bersembunyi bawah katil

LocalPolitics
6 May 2026 • 9:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cubaan pecah rumah terbongkar, suspek bersembunyi bawah katil
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki yang bersembunyi bawah katil dalam rumah penduduk ditahan.

KLUANG – Tindakan seorang lelaki bersembunyi di bawah katil bagi mengelak ditangkap gagal apabila dia dicekup polis di sebuah rumah di Jalan Berlian 25, Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam pada malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 10.30 malam mengenai kehadiran seorang lelaki mencurigakan di dalam rumah berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Renggam bergegas ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun kira-kira jam 10.45 malam.

“Suspek ditemui bersembunyi di bawah katil dalam sebuah bilik di rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

Tambahnya, mahkamah telah membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tujuh hari hingga 11 Mei bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah atau masuk ke dalam bangunan secara tidak sah.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222 atau hotline 07-7766822.

Sebelum itu tular, beberapa video memaparkan seorang individu dipercayai cuba melakukan kegiatan pecah masuk rumah sebelum tindakannya disedari penduduk setempat.

View Original Article