
Cubaan Seludup 476 Kg Minyak Masak Peket Ke Negara Jiran Gagal
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup 476 kilogram minyak masak peket bersubsidi ke negara jiran dalam serbuan di tepi jalan Pohon Pulai, Bunohan pada Jumaat.
Dalam pemeriksaan yang dilakukan pada jam 7.40 pagi itu, sejumlah kotak berisi minyak masak peket ditemukan di tempat duduk penumpang dan bahagian belakang kenderaan jenis Perodua Kancil.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, menyatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil maklumat risikan yang mendapati kenderaan tersebut disyaki membawa barangan bersubsidi untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran.
“Pasukan operasi berjaya mengesan kenderaan tersebut yang di parkir di tepi jalan Pohon Pulai, Bunohan.
“Walau bagaimanapun suspek telah melarikan diri ke arah semak berhampiran dan gagal dikesan pasukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, minyak masak peket bernilai RM1,190 itu dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau turut menegaskan bahawa KPDN Kelantan sentiasa berusaha membanteras ketirisan barangan kawalan di sempadan negara dengan kerjasama agensi berkaitan.
Azman juga memberitahu bahawa pihaknya mempergiatkan usaha dengan mengadakan Pemantauan dan Rondaan Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di stesen-stesen minyak sekitar radius 50 kilometer dari sempadan negara.
“KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral penyelewengan barang kawalan supaya menghentikan segera serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan tindakan tegas akan diambil selanjutnya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
The post Cubaan Seludup 476 Kg Minyak Masak Peket Ke Negara Jiran Gagal appeared first on Siakap Keli.
