
TAWAU: Sejumlah 5,150 kilogram (kg) beras putih import (BPI) 5% bersubsidi yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran, disita pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB), pada Selasa lalu.
Ketua Cawangan Pejabat KPB Tawau, Mohd Nur Edzudin A. Bakar berkata, rampasan itu hasil serbuan di Jeti Limbungan Batu 3, Jalan Apas sekitar jam 4 petang, susulan maklumat dan risikan yang diterima.
Menurutnya, semasa serbuan tersebut, terdapat sebuah kapal jongkong sedang memunggah barang-barang dagangan, termasuk beras pulut.
“Selepas diperiksa, terdapat cubaan untuk menyorok beras putih import (BPI) 5% bersubsidi yang disembunyikan di bahagian paling bawah dan dilitupi dengan beras pulut serta barangan lain.
SPONSORED CONTENT Sinyi Group Founder, Chou Chun-Chi, Wins 2024 Asia Pacific Enterprise Award and Expands Sustainable Tourism Ventures in Sabah, Malaysia Kota Kinabalu: The 2024 Asia Pacific Enterprise Awards, hosted by Enterprise Asia, aims to recognize the most outstanding business leaders and organizations in the Asia-Pacific region. Read more “Hasil pemeriksaan lanjut, terdapat sejumlah 103 guni masing-masing 50kg dikenal pasti BPI 5% bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM11,587.50,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Mohd Nur Edzudin berkata, pemilik beras bertindak meninggalkan lokasi sejurus dijelaskan tujuan kedatangan pasukannya, yang terdiri daripada empat pegawai bersenjata bersama bantuan MPV dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi tujuan keselamatan.
Katanya, beras sitaan berkenaan dibawa dan disimpan di Gudang Bernas, Jalan Apas bagi tujuan siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Mengulas lanjut, beliau berkata, komoditi tersebut disyaki hendak dibawa ke Pulau Sebatik untuk cuba diseludup ke negara jiran kerana tiada deklarasi dibuat.
Katanya, setiap pergerakan beras subsidi ke Pulau Sebatik perlu ada deklarasi daripada pihak Kawalselia Padi dan Beras, yang harus dibuat oleh setiap pelesen.
Dalam pada itu, Mohd Nur Edzudin memberi amaran kepada pihak yang cuba menyeludup beras putih bersubsidi ke luar negara agar berfikir dua kali sebelum melakukan aktiviti tidak bermoral tersebut.
Tegasnya, KPB akan sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti di jeti-jeti aktif pada setiap masa.
Tambahnya, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, Akta 522 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM15,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
