
TAWAU: Cubaan seorang suspek menyeludup keluar hampir 700 pek minyak masak bersubsidi dengan bot kargo, ditumpaskan di perairan berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia di sini, kira-kira jam 10.40 malam Jumaat.
Pergerakan mencurigakan bot kargo yang meluncur laju keluar dari perairan Batu 3 Jalan Apas, dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau yang mengadakan rondaan Ops Khas Pagar Laut 1/ 2025.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten (M) Shahrizan Raman berkata juragan bot itu dikenalpasti sebagai lelaki warga tempatan berumur 35 tahun dan ditahan pada kedudukan 2.4 batu nautika dari barat daya Sungai Kinabutan Kecil.
“Kesemua muatan membabitkan 680 pek minyak masak dan 28 unit tong gas LPG disita selepas juragan gagal menunjukkan dokumen kebenaran membawa barangan terbabit,” katanya, di sini pada Sabtu.
Shahrizan berkata berdasarkan rekod semasa, jumlah keseluruhan barangan rampasan dalam kes itu dianggarkan bernilai RM50,000, termasuk bot kargo dan enjin bot yang turut disita.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap dokumentasi berkaitan juga mendapati nama suspek iaitu juragan terlibat tidak tersenarai dalam daftar nama lesen bot kargo berkenaan.
“Juragan dan semua barangan rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.
Beliau berkata siasatan akan diteruskan untuk mengenalpasti dalang sebenar di sebalik kegiatan sindiket penyeludupan keluar barangan bersubsidi dari daerah ini ke negara jiran.
Mengulas lanjut, pihaknya tidak menolak kemungkinan cubaan penyeludupan barangan bersubsidi bertujuan memenuhi permintaan pasaran pada musim perayaan.
“Penguatkuasaan semasa musim perayaan akan diperkasa secara optimum, dengan rondaan dan pemantauan lebih kerap di kawasan titik panas untuk membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang, tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa,” katanya.

