
TAWAU: Cubaan menyeludup masuk 28,000 batang rokok kretek yang disembunyikan di dalam guni berisi muatan pisang menerusi perairan Tawau berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim, sekitar jam 6 pagi, Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot penumpang yang bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Jeti CIQ Tawau.
Menurutnya, seorang juragan lelaki tempatan berusia 33 tahun bersama seorang penumpang wanita warga Indonesia, 48, berada di dalam bot tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas muatan yang dibawa bot tersebut menemukan 28,000 batang rokok kretek yang disembunyikan di dalam guni yang berisi muatan pisang dipercayai cuba diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan,”katanya.
Nilai rampasan keseluruhan termasuk bot beserta enjin dianggarkan bernilai RM43,000 dengan nilai rokok RM18,000.
Terdahulu, katanya, sebuah bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak bagi mengesan dan menahan bot suspek terlibat selepas menerima maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai di Jeti CIQ Tawau.
Katanya, juragan bersama penumpang serta muatan dan bot ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Shahrizan berkata, bagi kesalahan pertama penyeludupan rokok, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan itu,atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan dan aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.
Tambahnya, penguatkuasaaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dan pihaknya memohon agar sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di 089-750116 atau MERS 999.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
