CUCKOO Malaysia catat keuntungan selepas cukai RM25 juta

Business & Finance
19 May 2026 • 1:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: CUCKOO Malaysia catat keuntungan selepas cukai RM25 juta
CUCKOO Malaysia mencatatkan keuntungan stabil, disokong margin kasar yang lebih kukuh, kos operasi lebih rendah dan tumpuan berterusan terhadap pelaksanaan yang berdisiplin.

CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia), peneraju Pencipta Kediaman Sihat (Healthy Home Creator) mengumumkan keputusan kewangan belum diaudit untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (S1TK2026) mencatatkan hasil sebanyak RM227.8 juta dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM25.0 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM33.7 juta.

Dalam kenyataannya, CUCKOO Malaysia memaklumkan, walaupun persekitaran jualan lebih perlahan, syarikat mencatatkan keuntungan stabil, disokong margin kasar yang lebih kukuh, kos operasi lebih rendah dan tumpuan berterusan terhadap pelaksanaan yang berdisiplin.

Berasaskan tahun ke tahun, pendapatan menurun berbanding suku yang sama, mencerminkan permintaan pengguna yang lebih perlahan dan unit yang dijual lebih rendah.

Keuntungan kasar (GP) bagi suku tersebut pula ialah RM87.2 juta, manakala margin kasar meningkat tahun ke tahun kepada 38.3 peratus (meningkat daripada 31.0 peratus pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025), disebabkan oleh kos produk yang lebih rendah berikutan ringgit Malaysia yang lebih kukuh, serta purata kos pemerolehan pelanggan yang lebih rendah.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, syarikat terus memberi tumpuan kepada kecekapan kos dan pelaksanaan berdisiplin dalam menghadapi persekitaran perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati.

“Margin kasar kami mengukuh pada suku tahun ini, disokong oleh kos produk yang lebih rendah dan kos pemerolehan pelanggan yang lebih rendah.

“Ketika kami terus mengembangkan ekosistem penyelesaian kesejahteraan dan mengukuhkan kehadiran pengedaran berbilang saluran (omni-channel), kami kekal komited untuk meningkatkan kualiti pendapatan dan memberikan nilai yang mampan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, perbelanjaan pengedaran dan pentadbiran masing-masing menurun kepada RM18 juta dan RM15.7 juta, susut 7.3 peratus dan 14.5 peratus berikutan perbelanjaan pemasaran yang lebih tertumpu serta proses operasi yang diperkemas.

Kerugian bersih daripada pengurangan nilai instrumen kewangan pula meningkat kepada RM18.5 juta, yang dikaitkan dengan corak pembayaran balik pengguna yang lebih perlahan ketika musim perayaan.

Kos kewangan bersih pula menurun kepada RM1.9 juta, disokong oleh perbelanjaan faedah yang lebih rendah daripada pengurangan pinjaman dan keuntungan pertukaran asing yang lebih tinggi berikutan ringgit Malaysia yang lebih kukuh.

Sehingga 31 Mac 2026, syarikat memiliki tunai dan setara tunai sebanyak RM70.5 juta, manakala jumlah pinjaman berjaya dikurangkan kepada RM118.6 juta. 

Ekuiti yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat meningkat kepada RM1.1 bilion, mencerminkan keuntungan yang mampan dan daya tahan kunci kira-kira.

Melangkah ke hadapan, CUCKOO Malaysia menjangkakan perbelanjaan pengguna kekal berhati-hati susulan kos sara hidup tinggi dan persekitaran operasi yang perlahan, namun syarikat kekal fokus memberikan nilai jangka panjang yang mampan dengan kekal berdisiplin dalam pelaksanaan dan responsif terhadap keperluan pengguna yang sentiasa berubah.

Keutamaan berterusan syarikat termasuk mengekalkan kemampuan, aksesibiliti dan kualiti perkhidmatan, sambil memperkukuh kekuatan model pendapatan berulangnya.

Dari segi pelanggan, syarikat kekal fokus mengembangkan kehadiran pasarannya secara berterusan dengan memanfaatkan jenama yang kukuh, model perniagaan yang berkesan dan rangkaian pengedaran berbilang saluran.

Keutamaan strategik termasuk mengembangkan SKU produk merentasi segmen perniagaan untuk memenuhi segmen pelanggan yang lebih luas, serta memperkukuh kehadiran pengedaran di Malaysia merentasi salurannya termasuk platform dalam talian, kedai fizikal dan tenaga kerja.

Ini melanjutkan usaha syarikat dari S1TK2026, melalui pengenalan SKU baharu di bawah 'CUCKOO Smart Healthy Home Co-Created Programme with Samsung', usaha pecutan digitalnya dengan integrasi pilihan penyewaan produk melalui CUCKOO e-Brandshop untuk menguasai segmen digital-first (pengguna yang lebih gemar membeli-belah dalam talian), dan kehadiran runcit yang diperkukuh dengan kumulatif tiga kedai Brandshop ‘cash-and-carry’ di atas lebih 230 kedai runcit sedia ada.

CUCKOO Malaysia juga bersedia menembusi sektor HORECA menerusi pelantikannya sebagai Rakan Strategik bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Melihat ke hadapan, CUCKOO Malaysia terus optimis dengan berhati-hati. Dengan pengguna semakin menyukai pengaturan penyewaan sebagai alternatif kepada pembelian terus, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan trend ini.

Melalui pelaburan berterusan dalam teknologi dan penyelesaian kehidupan kediaman yang berfokus pada kesejahteraan, termasuk peralatan rumah dan barangan rumah, perkhidmatan penjagaan kediaman dan penyelesaian gaya hidup lain, syarikat komited mengekalkan pertumbuhan dan membina asas yang berdaya tahan untuk pertumbuhan masa hadapan.