
MELAKA – Demi memberi sokongan kepada cucu kesayangan yang menyertai perbarisan, seorang nenek sanggup datang dalam keadaan bertongkat, manakala suaminya berkerusi roda ke Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka di Persiaran Jalan Pantai Klebang, hari ini.
Zainah Zakaria, 80, berkata, dia bersama suami, Abdul Ghafur Mustapha, 83, tetap bersemangat hadir ke lokasi sambutan walaupun berdepan masalah kesihatan.
Katanya, kehadiran mereka adalah untuk menyaksikan cucu, Nur Alisha Meldina Jady Mahajad, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Perempuan Melaka yang mengambil bahagian dalam perbarisan dengan bermain dram bersama kontinjen.
“Walaupun kaki saya sakit dan suami perlu menggunakan kerusi roda, kami tetap datang kerana mahu melihat cucu beraksi dalam perbarisan.
“Apabila dapat melihat cucu bermain dram dan mengambil bahagian dalam sambutan ini, rasa penat dan sakit itu hilang. Ini pengalaman yang cukup bermakna buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi sambutan.
Menurutnya, semangat untuk meraikan Hari Kebangsaan tetap tidak berubah walaupun faktor usia dan kesihatan membataskan pergerakan mereka.
“Dulu sambutan tidak semeriah sekarang, tetapi semangat kemerdekaan tetap sama. Saya harap perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa terus kukuh dan rakyat terus hidup dalam suasana harmoni,” katanya.
Zainah turut memberitahu dia bagaimanapun ada menerima bantuan petugas sukarelawan Paramedik Komuniti (Parakom) menerusi perkhidmatan bugi yang disediakan bagi memudahkan pergerakannya di kawasan sambutan.
Perkhidmatan berkenaan turut membantu pengunjung yang memerlukan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung.
Terdahulu, sambutan yang berlangsung penuh meriah itu mencatatkan penyertaan kira-kira 12,000 peserta membabitkan 158 kontinjen daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, institusi pengajian tinggi serta sektor swasta.
Dianggarkan lebih 70,000 pengunjung turut hadir seawal pukul 4 pagi tadi bagi menyaksikan persembahan dan acara yang disajikan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69. – KOSMO! ONLINE
The post Cucu masuk perbarisan, nenek datang bertongkat, atuk berkerusi roda appeared first on Kosmo Digital.
