Cucu pengasas Genting mohon singkir pentadbir harta pusaka ibu bernilai RM1.6 bilion

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 6:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

KUALA LUMPUR: Pentadbir sementara harta pusaka mendiang waris Genting, Lim Siew Kim, bernilai RM1.6 bilion, didakwa membayar lebih RM2 juta kepada peguam tanpa kelulusan, sekali gus melanggar perintah mahkamah, menurut keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Pentadbir berkenaan, peguam Datuk S Satharuban dan Khoo Siew Kiat, dilantik Mahkamah Tinggi pada 27 November 2023 untuk menguruskan pentadbiran harta pusaka sementara menunggu keputusan mahkamah, susulan pertikaian keluarga berhubung kesahihan wasiat Siew Kim.

Siew Kim, anak ketiga kepada pengasas Kumpulan Syarikat Genting, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2022 ketika berusia 73 tahun.

Beliau meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki, Marcus Chan Jau Chwen, 42, yang kini memohon supaya pentadbir berkenaan disingkirkan.

Peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Marcus berkata, pembayaran yang dipertikaikan itu termasuk RM1.4 juta dan lebih RM800,000 yang dibayar kepada peguam pada 2024.

Katanya, pembayaran berkenaan didakwa dibuat walaupun terdapat perintah mahkamah sebelum ini yang menetapkan pembayaran berkaitan hutang selain hutang Siew Kim perlu diteliti dan mendapat pertimbangan mahkamah.

“Perintah mahkamah itu amat mengikat dan wajib dipatuhi. Disebabkan perintah berkenaan dilanggar, permohonan untuk menyingkirkan pentadbir ini difailkan di mahkamah,” katanya.

Kamarul Hisham dalam hujahnya berkata, penelitian oleh mahkamah bermaksud mahkamah perlu mempertimbangkan dan meluluskan pembayaran terlebih dahulu sebelum ia dibuat, bukannya sekadar menerima laporan daripada pentadbir selepas pembayaran dilakukan.

“Mahkamah tidak boleh hanya menjadi penerima pasif maklumat selepas sesuatu perkara berlaku.

“Penelitian bermakna mahkamah perlu melihat dan mempertimbangkannya sebelum pembayaran dibuat,” katanya.

Beliau berkata, penelitian itu perlu dilakukan oleh mahkamah sendiri kerana pentadbir berada di bawah kawalan dan arahan mahkamah.

Kamarul Hisham berkata, Satharuban dan Siew Kiat, sebagai pegawai mahkamah, wajib bertindak secara tidak berat sebelah serta mematuhi semua perintah dan arahan mahkamah.

Beliau turut berhujah asas untuk menyingkirkan pentadbir ialah sama ada terdapat syak munasabah berhubung salah laku atau mereka tidak lagi sesuai untuk meneruskan tugas berkenaan.

Antara aduan Marcus ialah dakwaan pembayaran dibuat daripada akaun individu dan bukannya akaun amanah yang ditetapkan, dana harta pusaka berkurangan akibat pembayaran tidak wajar serta pentadbir campur tangan dalam syarikat yang mempunyai kaitan dengan harta pusaka.

Beliau turut mendakwa pentadbir hampir menyebabkan harta pusaka membayar RM4.73 juta dalam bentuk taksiran bagi pihak Prominview Sdn Bhd, walaupun liabiliti berkenaan didakwa sepatutnya ditanggung rakan usaha sama.

Aduan lain termasuk dakwaan pentadbir memasukkan kaveat persendirian dan menjalankan penilaian hartanah walaupun tidak mempunyai kuasa untuk mengagihkan atau melupuskan aset harta pusaka.

Marcus juga mendakwa Satharuban dan Siew Kiat telah mencurigainya sejak awal, yang menurutnya menjejaskan kewajipan mereka untuk kekal berkecuali.

Dalam wasiat kedua bertarikh 11 April 2022, Siew Kim mengurangkan pemberian wang tunai kepada anak perempuan keduanya Chan T’shiao Li, 48, dan anak perempuan ketiga, Kimberly Chan Tshiao Miin, 45, masing-masing kepada RM900,000 dan RM100,000.

Keadaan itu menyebabkan kedua-dua beradik berkenaan mencabar wasiat mendiang ibu mereka yang membabitkan aset bernilai lebih RM1.6 bilion.

Marcus diberikan 30 peratus daripada baki harta pusaka serta kuasa terhadap semua peti simpanan selamat milik ibunya.

Anak sulung Siew Kim, Cressa Chan T’shiao Yunn, pula menerima RM10 juta dan sebuah hartanah di Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

Anak perempuan Cressa pula akan menerima RM50,000 sebulan.

Satharuban dan Siew Kiat mengambil alih pentadbiran harta pusaka selepas T’shiao Li dan Kimberly memfailkan saman probet pada 19 Januari 2023 bagi mencabar wasiat yang dikatakan dibuat pada 28 April 2022.

Pada 23 Januari lalu, Marcus memperoleh injunksi interim yang menghalang Satharuban dan Siew Kiat daripada bertindak bagi pihak harta pusaka sehingga permohonan untuk menyingkirkan mereka diputuskan. – UTUSAN

The post Cucu pengasas Genting mohon singkir pentadbir harta pusaka ibu bernilai RM1.6 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved