
PETALING JAYA – Cucu pelakon dan seniman veteran, Allahyarham AR Tompel tampil menegur tindakan seorang pengguna media sosial yang didakwa menjadikan persamaan fizikal dengan arwah datuknya sebagai bahan gurauan.
Menerusi satu hantaran di Thread, Elly Amran berkata, pada awalnya dia tidak mengambil kisah mengenai penggunaan gambar datuknya, namun mula bersuara selepas menerima banyak mesej daripada orang ramai berhubung perkara tersebut.
“Assalamualaikum, mungkin awak peminat atuk saya. Sebenarnya saya tak ambil kisah pun pasal nak pakai gambar atuk saya. Tapi disebabkan ramai yang DM dan tanya saya, ‘this is too much’ lah ya.
“Takkan semua manusia gigi ke depan dan jongang adalah ahli keluarga atuk saya,” katanya.
Menurutnya, dia tidak malu dengan keadaan fizikal yang menjadi bahan perbandingan itu, namun kesal apabila perkara tersebut turut dilihat sebagai tidak menghormati Allahyarham AR Tompel.
“‘Stop body shaming’, buli. Saya tak malu, tapi awak boleh tahan juga tak hormat arwah.
“Lagipun atuk saya seniman legend, sama seperti P. Ramlee. Maybe awak tak kenal, tapi yang mengenali beliau hormat beliau,” katanya.
Tambahnya, Allahyarham AR Tompel sudah meninggal dunia kira-kira 50 tahun lalu dan dia berharap gurauan yang dibuat di media sosial tidak keterlaluan.
“Dah 50 tahun atuk saya meninggal. Nak bergurau biarlah berpada-pada.
“Semoga Allah ampunkan awak,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna Thread dikecam kerana seolah-olah mengejek rupa seorang wanita dan menyamakannya dengan AR Tompel. – KOSMO! ONLINE
The post Cucu tegur netizen ‘bahan’ fizikal AR Tompel appeared first on Kosmo Digital.
