Baru-baru ini tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan menghasilkan dan menjual sijil cuti sakit palsu kepada individu tertentu termasuk penjawat awam dengan harga antara RM25 hingga RM30 tanpa sebarang pemeriksaan kesihatan.
Susulan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan agar penggunaan sijil cuti sakit secara digital diperluaskan bagi mengelakkan pemalsuan serta memastikan ketelusan dalam pengurusan cuti sakit dalam kalangan penjawat awam. Sistem ini juga dilihat mampu memudahkan pengesahan majikan secara dalam talian dengan institusi kesihatan negara.
Baca juga:
Jelas Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, tindakan segera perlu dilakukan bagi menambah baik sistem sedia ada dan Kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dijalankan.
“Antaranya adalah memperluas penggunaan sijil cuti sakit digital yang mempunyai sistem pengesahan QR. Sistem ini perlu memperoleh pengesahan terus daripada sistem hospital dan klinik kerajaan bagi mengelakkan pemalsuan.
“Kerjasama KKM, JPA dan SPRM perlu dilakukan dalam memperkukuh pemantauan terhadap dokumen perubatan,” katanya.
Hukuman lebih tegas
Tambahnya, hukuman lebih tegas perlu dilakukan terhadap individu terbabit sebagai pengajaran kepada pihak lain selain mengadakan kempen kesedaran dan pendidikan etika.
Dalam pada itu, Adnan turut mengingatkan penjawat awam agar memelihara integriti dan tidak terlibat dalam sebarang kelakuan atau tindakan yang boleh menjejakan reputasi awam.
“Pemalsuan sijil cuti sakit adalah perbuatan yang tidak beretika dan tidak boleh dikompromi dalam mana-mana keadaan dan CUEPACS komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkukuh sistem perkhidmatan awam yang telus, berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur salah laku,” katanya.
Sumber: Berita Harian
The post CUEPACS cadang penggunaan sijil cuti sakit secara digital appeared first on The Reporter.

