Cuepacs sambut baik pengecualian cukai bonus penjawat awam

LocalPolitics
20 Jan 2023 • 4:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Adnan Mat

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan tindakan kerajaan tidak mengenakan cukai pendapatan ke atas bonus atau bantuan khas penjawat awam adalah satu tindakan tepat memandangkan nilainya yang diterima tidak begitu tinggi dan bersifat membantu meringankan beban mereka.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ini kerana kebanyakan jumlah bonus yang diterima penjawat awam negeri termasuk di peringkat Persekutuan tidaklah tinggi iaitu purata sekitar RM700 sehingga RM2,000 setiap seorang.

Menurutnya, jika jumlah tersebut dikecualikan daripada cukai pendapatan, ia tidak menjejaskan hasil atau sasaran kutipan cukai oleh kerajaan.

"Cuepacs difahamkan bahawa kutipan cukai yang berjaya dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melebihi sasaran ditetapkan pada 2022.

"Bonus yang diterima itu juga sebenarnya bersifat bantuan khas oleh kerajaan negeri bagi memberi sedikit penghargaan serta meringankan beban kewangan yang ditanggung penjawat awam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, Cuepacs turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengecualikan cukai ke atas pemberian bonus atau bantuan khas kewangan kepada kakitangan awam di semua negeri.

"Terdapat juga kerajaan negeri yang membuat bayaran secara berperingkat mengikut fasa dan tidak berbentuk sekali gus.

"Justeru, pertimbangan Perdana Menteri dalam hal ini adalah munasabah dan amat memahami mengenai soal kebajikan warga penjawat awam,"ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved