
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik cadangan pembayaran secara bulanan kepada penjawat awam sebagai satu bentuk perlindungan jangka panjang selepas bersara.
Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, sebarang bentuk pindaan atau mekanisme baharu hendaklah berprinsip ‘tidak kurang faedah’ bagi memastikan kebajikan pesara kekal terbela.
“Pembayaran secara bulanan seperti pencen adalah satu bentuk perlindungan kewangan jangka panjang yang mampu menjamin kelangsungan hidup persara dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup yang terus meningkat.
”Kami juga memahami bahawa terdapat sebahagian pandangan daripada penjawat awam yang lebih cenderung untuk menerima bayaran sekaligus seperti dalam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Namun, kami berpandangan bahawa pembayaran secara bulanan adalah lebih berstruktur, selamat dan dapat mencegah risiko pemborosan atau kehabisan simpanan persaraan dalam tempoh singkat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang akan diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan skim pencen, dijangka mengekalkan kaedah pembayaran sedia ada iaitu secara bulanan.
Melaluinya, penjawat awam menepati had umur persaraan ditetapkan akan dibayar secara bulanan seperti kaedah pencen sebelum ini, berbanding dibenarkan membuat pengeluaran secara sekali gus.
Cadangan itu disifatkan lebih proaktif memandangkan banyak kes pesara kerajaan kerugian wang persaraan akibat menjadi mangsa 'scam', selain membolehkan simpanan hari tua diuruskan lebih efisien.
Mengambil kira pelbagai pandangan di peringkat akar umbi, Adnan turut mencadangkan supaya kerajaan memberi pilihan fleksibel kepada penjawat awam tetap yang mencarum, sama ada untuk menerima bayaran secara bulanan atau sekaligus tertakluk kepada syarat tertentu.
“Skim hibrid juga boleh dipertimbangkan dimana sebahagian kecil simpanan dibenarkan untuk dikeluarkan sekaligus, manakala bakinya dibayar secara berkala setiap bulan.
“Selain itu, kadar caruman kerajaan juga perlu mencukupi bagi menampung keperluan asas pesara agar ia tidak jauh berbeza daripada nilai pencen yang dinikmati pada masa ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus memainkan peranan aktif dalam sesi libat urus bersama kerajaan agar setiap pelaksanaan dasar baharu mengambil kira suara penjawat awam dan memberikan manfaat jangka panjang.

