
KUALA LUMPUR - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat membantah cadangan untuk membawa masuk jururawat dari Indonesia berkhidmat di hospital awam di Malaysia bagi menangani kekurangan tenaga kerja kesihatan.
Beliau berkata, tindakan mengambil pekerja dari luar itu bakal mengecilkan peluang rakyat di negara ini untuk berkhidmat dalam sektor berkenaan.
“Cuepacs tidak bersetuju dengan cadangan untuk diterapkan jururawat Indonesia dalam sektor awam pada masa ini. Keutamaan mesti diberikan kepada pengisian jawatan oleh rakyat Malaysia terlebih dahulu, selari dengan pelan serta langkah konkrit yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengatasi kekurangan jururawat.
“Mengutamakan pengisian oleh warganegara adalah penting bagi prospek kerjaya graduan kejururawatan tempatan dan kesinambungan laluan kerjaya dalam perkhidmatan awam. Kemasukan tenaga asing ke sektor awam berisiko menjejaskan motivasi dan minat belia menceburi bidang ini sekiranya tidak ditadbir baik,” katanya, lapor Sinar Harian.
Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, pada Selasa lalu mencadangkan satu kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara ini sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.
Konsul Jeneralnya, Sigit S Widiyanto berkata, langkah itu adalah situasi menang-menang memandangkan ketika ini kira-kira 70% pesakit antarabangsa di negara ini berasal dari Indonesia.
Beliau optimis langkah ini akan memberi manfaat dua hala kerana Malaysia berdepan kekurangan tenaga kesihatan termasuk jururawat manakala Indonesia mempunyai lebihan tenaga kerja dalam bidang itu.
Cadangan tersebut dilaporkan melibatkan kerjasama dengan hospital tertentu dan tertakluk kepada kelulusan KKM serta Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) dan antara justifikasi yang dikemukakan ialah peratusan tinggi pesakit antarabangsa dari Indonesia dan keserasian budaya serta bahasa.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, cadangan dikemukakan KJRI Johor Bahru itu mungkin sesuai untuk dipertimbangkan dalam konteks sektor swasta dengan kawal selia sedia ada tanpa menjejaskan keutamaan pengisian jawatan awam oleh warganegara.
“Cuepacs berpandangan pelaksanaan kemasukan jururawat asing ke sektor awam pada ketika ini tidak wajar. Fokus harus kekal pada pelaksanaan penuh langkah KKM untuk meningkatkan bekalan jururawat tempatan dan mempercepat pengisian jawatan kosong,” jelasnya.
Tegas Adnan, pihaknya juga menyokong usaha KKM memperkasa ekosistem kejururawatan negara melalui pengeluaran graduan, pengambilan berfasa, peningkatan kapasiti latihan dan penambahbaikan laluan kerjaya.
Cuepacs dalam masa sama katanya, akan terus bekerjasama dengan KKM, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) dan LJM bagi memastikan pengisian jawatan berlaku dengan segera, berkualiti dan mengutamakan rakyat Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hospital utama di Johor Bahru kini sedang berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang serius dan kritikal, menyaksikan seorang jururawat terpaksa menguruskan lebih 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8. - 7 Ogos, 2025
The post Cuepacs tolak cadangan bawa jururawat Indonesia ke Malaysia appeared first on Scoop.

