Cukai Jalan Dah Tamat Tempoh, Pemegang Kad UNHCR Kantoi Pandu BMW Mewah

LocalCars
18 Jun 2026 • 8:37 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Sebuah kereta mewah BMW 7 Series yang dipandu seorang lelaki pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) antara 145 kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dalam Op Luxury sejak awal tahun ini.

Kenderaan berkenaan yang dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan selepas didapati cukai jalan tamat tempoh, selain dipercayai digunakan dalam majlis perkahwinan ketika pemeriksaan dilakukan minggu lalu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu berkata, daripada 870 kenderaan yang diperiksa, sebanyak 145 kenderaan telah disita melibatkan pelbagai jenis kenderaan mewah.

“Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak tujuh kenderaan mewah disita membabitkan bukan warganegara, terutamanya dari China, Pakistan dan Bangladesh serta seorang pemegang kad UNHCR,” katanya.

Image from: Cukai Jalan Dah Tamat Tempoh, Pemegang Kad UNHCR Kantoi Pandu BMW Mewah

Menurut beliau, operasi tersebut memberi tumpuan terhadap pematuhan Lesen Kenderaan Motor (LKM), insurans, serta lesen memandu yang tidak sah atau telah tamat tempoh.

“Selain itu kami beri fokus terhadap pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan JPJ serta pelanggaran lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel lain: Rohingya Tinggal Berselerak Di Selangor, Polis Akui Bimbang Aspek Jenayah

Jasyindar turut menegaskan bahawa setiap kesalahan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi termasuk sitaan kenderaan dan pendakwaan di mahkamah.
“Saya ingin mengingatkan semua pemilik kenderaan mewah dan penggiat automotif bahawa nilai atau status sesebuah kenderaan tidak memberikan sebarang kekebalan daripada tindakan undang-undang,”tambah beliau.

Beliau berkata JPJ akan meningkatkan lagi kekerapan dan intensiti operasi penguatkuasaan termasuk rondaan, sekatan jalan raya dan pemeriksaan teknikal bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya berada pada tahap tertinggi.

Sumber: Harian Metro (Ahmad Hasbi)

The post Cukai Jalan Dah Tamat Tempoh, Pemegang Kad UNHCR Kantoi Pandu BMW Mewah appeared first on Borak Daily.