Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan tegas menitahkan supaya isu pencerobohan tanah di negeri ini dihentikan segera dan tidak dipandang ringan.
Dalam satu majlis sambutan Aidilfitri di Kampung Bantal, Jerantut semalam, baginda secara terbuka menyatakan rasa kecewa terhadap kes pencerobohan tanah yang masih berleluasa.
“Jangan bagi orang ceroboh tanah negeri Pahang ini. Saya pun naik darah juga, sudah sampai masanya kita berkeras,” titah baginda dalam ucapan yang dimuat naik ke laman Facebook Kesultanan Pahang
Titah berani itu turut disertai seruan kepada rakyat agar memainkan peranan penting dengan menjadi ‘mata dan telinga’ baginda, menyalurkan maklumat jika ternampak kegiatan mencurigakan berkaitan tanah kerajaan.
- China larang syarikat penerbangan terima pesawat Boeing
- Hilang sejak 2009, kucing Bengal akhirnya pulang selepas 16 tahun
- Ibu rakam anak hayun kucing sambil ketawa, video tular cetus kemarahan netizen
- Lelaki ditahan, muat naik video hina Perdana Menteri
- ‘Tun Abdullah berjasa dalam pembangunan modal insan di KKM’ – Noor Hisham Abdullah
Walau begitu, baginda tetap menekankan kepentingan menyelesaikan isu ini secara harmoni dan profesional, tanpa menambah ketegangan antara pihak berkuasa dan penduduk yang terlibat.
Titah ini hadir selepas kontroversi berhubung operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub baru-baru ini, yang menyaksikan kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang atas alasan ditanam tanpa kebenaran.
Tindakan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pekebun, namun kerajaan negeri menegaskan mereka tidak melanggar sebarang perintah mahkamah dan hanya menjalankan penguatkuasaan terhadap penerokaan haram.
Operasi yang disertai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama polis itu dijadualkan berlangsung sehingga 3 Mei, meliputi kawasan yang dikenal pasti diceroboh untuk penanaman tidak sah.
Teguran terbuka Sultan Pahang kali ini jelas memberi isyarat bahawa isu pencerobohan tanah bukan lagi perkara kecil dan tindakan keras mungkin akan jadi norma baharu jika amaran ini tidak diendahkan.
Sumber: BN Pahang, Instagram Kesultanan Pahang
The post ‘Cukup-cukuplah ceroboh tanah Pahang’ – Al-Sultan Abdullah kecewa, minta rakyat jadi mata dan telinga appeared first on The Reporter.

