SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerjasama dengan pihak yang didakwa memperlekehkan titah Sultan dihentikan susulan tindakan segelintir pihak yang dikatakan sanggup mempertikaikan institusi diraja hanya kerana isu berkaitan babi.
Pandangan tersebut disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh yang menyifatkan perkembangan semasa sebagai bukti sikap sebenar pihak terbabit.
"Alhamdulilah ALLAH makbulkan doa saya apabila sedikit demi sedikit ALLAH tunjukkan perangai sebenar mereka. Cukup-cukuplah kita nak bekerjasama dengan mereka ini.
"Kalau titah sultan pun sanggup diperlekehkan oleh kerana babi, apa lagi yang lain," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di negeri ini sama ada berskala besar mahupun kecil susulan faktor kesesuaian guna tanah serta risiko alam sekitar yang boleh menjejaskan kepentingan awam.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu kekal seperti yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari lalu berhubung isu penternakan babi di negeri ini.
Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut menegaskan keputusan yang dibuat di Johor wajar diperluaskan ke seluruh negara.






