
SETIAP wanita pasti mempunyai perancangan sendiri dalam menguruskan keluarga, terutamanya apabila menyentuh soal bilangan cahaya mata.
Bagi pempengaruh dan usahawan jelita, Umisya Mazlan, dia tidak berselindung mengakui bahawa kaedah mencegah kehamilan seperti pil perancang sebenarnya langsung tidak berkesan dengan sistem badannya.
Menerusi satu potongan video penstriman langsung di aplikasi TikTok @mesyalove01 yang tular baru-baru ini, isteri kepada personaliti media sosial, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid atau mesra disapa Aslam, secara terbuka berkongsi tentang sisi peribadi dan pengalamannya dalam merancang keluarga demi memastikan kesihatan dirinya berada pada tahap yang terbaik.
Bercerita lanjut mengenai keunikan tubuh badannya, Umisya mendedahkan bahawa dia terpaksa beralih kepada kaedah alternatif lain demi memastikan jarak kehamilan yang ideal dapat dilakukan.
Jelasnya, setiap individu mempunyai tahap kesuburan yang berbeza dan dia sendiri mengambil masa untuk memahami apa yang paling serasi untuk dirinya.

“Pil perancang memang tak berkesan pada saya. Tak tahu lah kenapa dengan tahap kesuburan saya.
"Hanya implanon sahaja berkesan pada saya,” katanya jujur mengenang kembali fasa tersebut.
Menyentuh tentang bilangan ahli keluarga, ibu muda ini menyedari bahawa setiap pasangan mempunyai pandangan serta impian yang berbeza-beza.
Ada yang selesa dengan keluarga yang kecil, namun tidak kurang juga yang mengimpikan suasana riuh-rendah dengan kehadiran anak yang ramai.
Capai sasaran
Perbezaan latar belakang keluarga antaranya dan suami turut memberi perspektif baharu buat dirinya dalam melayari bahtera rumah tangga.
“Ada orang tak suka anak ramai sebab bising. Adik-beradik saya sendiri tak ramai berbanding Aslam mempunyai adik-beradik yang ramai,” ujarnya lagi sambil tersenyum.

Walaupun begitu, Umisya sudah mempunyai pelan jangka masa panjang yang jelas mengenai fasa kehamilannya.
Enggan membiarkan faktor usia membataskan tenaganya untuk membesarkan anak-anak, dia meletakkan satu sasaran yang khusus sebelum mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada fasa bersalin.
Baginya, fokus kini adalah untuk memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada permata hati yang ada di depan mata.
“Saya sasarkan umur sebelum 30 tahun untuk bersalin. Bila saya dah capai sasaran, saya tutup sekejap dan berehat.
"Cukuplah empat orang sahaja,” ulasnya lagi.
