“Cuma Bertemu, Tak Bincang Apa-apa” – Zahid Hamidi Nafi Pelawa KJ Sertai Semula UMNO

LocalPolitics
4 Nov 2025 • 3:18 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan kononnya beliau mempelawa Khairy Jamaluddin atau lebih mesra disapa KJ untuk kembali menyertai parti itu.

Penafian tersebut dibuat susulan laporan beberapa portal berita sebelum ini yang mendakwa Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO itu dijangka menyertai semula parti terbabit menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung hujung bulan depan.

Hanya kebetulan jumpa KJ, tak bincang pasal politik

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan bahawa pertemuannya dengan Khairy hanyalah secara kebetulan dan tidak melibatkan sebarang perbincangan politik.

“Saya cuma bertemu dengan beliau di majlis perkahwinan dan kami tidak berbincang apa-apa pun. Apa yang terpapar di media hanyalah berita yang ditulis oleh media.

“Saya amat menghormatinya dan tidak mahu menyanggah mana-mana wartawan yang menulis mengenai perkara itu, seperti mana yang pernah disanggah oleh seseorang,” katanya dipetik Sinar Harian.

Laporan dakwa KJ dapat restu sertai semula UMNO

Terdahulu, menurut Berita Harian yang memetik sumber, bekas Ahli Parlimen Rembau itu dikatakan telah mendapat restu daripada pimpinan tertinggi UMNO, khususnya presiden parti untuk kembali ke pangkuan parti terbabit.

Khairy juga didakwa menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama Ahmad Zahid pada majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, baru-baru ini.

Tidak hanya itu, Ahmad Zahid juga didakwa meminta agar Khairy menghantar borang keahliannya untuk kembali menjadi ahli UMNO.

Bagaimanapun, sumber UMNO yang dihubungi Berita Harian menjelaskan parti itu belum ada menerima apa-apa surat permohonan daripada KJ untuk kembali menyertai mereka.

Baca Artikel Berkaitan: Khairy Jamaluddin Akan Sertai UMNO Semula?

Sekadar info, KJ dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 berikutan kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Menteri Kesihatan itu juga tewas ketika bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh – kawasan yang sememangnya asing buat KJ dan kubu kuat parti PKR sehingga ada yang menyangkakan ia adalah cubaan untuk membunuh kariernya.

View Original Article