Cuma salah faham, bukan cubaan samun

9 May 2026 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cuma salah faham, bukan cubaan samun
Tular di media sosial hantaran dimuat naik mendakwa terdapat cubaan samun menggunakan taktik langgar serta kejar di kawasan Elmina Lakeside Mall.

SHAH ALAM - Dakwaan kononnya berlaku kejadian cubaan samun berhampiran Elmina Lakeside Mall di sini tidak benar, sebaliknya hanya salah faham membabitkan kemalangan kecil antara dua kenderaan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kedua-dua pihak terlibat hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 10.30 malam untuk dirakam percakapan.

Menurutnya, hasil keterangan yang diambil mendapati terdapat percanggahan antara kedua-dua pemandu berhubung kejadian tersebut.

"Pemandu Perodua Bezza mendakwa kenderaannya dilanggar dari arah belakang ketika berada dalam keadaan parkir di bahu jalan.

"Bagaimanapun, pemandu Perodua Myvi pula mendakwa Perodua Bezza yang berada di hadapan telah mengundur sehingga menyebabkan perlanggaran berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pemandu Myvi bertindak mengejar kenderaan terbabit bagi membincangkan insiden kemalangan berkenaan.

"Kes disiasat dari sudut kemalangan jalan raya dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian tersebut,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran dimuat naik mendakwa terdapat cubaan samun menggunakan taktik langgar serta kejar di kawasan Elmina Lakeside Mall di sini.