
SEOUL – Cemburu dan sakit hati kerana dipercayai dikhianati suami, seorang wanita di Korea Selatan bertindak di luar batasan apabila sanggup merancang serangan kejam terhadap lelaki itu.
Akibat perbuatannya, wanita berusia 58 tahun tersebut dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.
Menurut laporan portal Must Share News, kejadian ngeri itu berlaku pada 1 Ogos 2024 di Hwado-myeon, Pulau Ganghwa, Incheon.
Difahamkan, wanita berkenaan memperoleh bukti bahawa suaminya menjalinkan hubungan dengan wanita lain sebelum merancang ‘balas dendam’ bersama anak perempuan serta menantunya.
Diikat ketika tidur, diserang tanpa belas kasihan
Ketika kejadian, mangsa yang berusia 50 tahun sedang minum bersendirian di sebuah kafe sebelum tertidur.
Kesempatan itu diambil oleh menantu lelaki mangsa yang masuk ke premis berkenaan lalu mengikat tangan dan kaki lelaki tersebut menggunakan tali serta pita industri.
Dalam keadaan tidak sedarkan diri, tertuduh kemudian menyerang.
Lebih mengejutkan, wanita itu memotong kemaluan suaminya sebelum menetaknya kira-kira 50 kali menggunakan senjata tajam.
Bagi memastikan kecederaan kekal, bahagian yang dipotong turut dibuang ke dalam tandas kafe.
Terselamat, tapi trauma seumur hidup
Mangsa bagaimanapun ditemui pasukan kecemasan dan dikejarkan ke hospital.
Dia berjaya diselamatkan selepas menjalani pembedahan, namun mengalami kecederaan serius selain trauma fizikal dan psikologi yang berpanjangan.
Pendakwa raya pada awalnya menuntut pertuduhan cubaan membunuh dengan hukuman penjara 15 tahun terhadap isteri mangsa serta tujuh tahun kepada menantu.
Mahkamah tolak cubaan bunuh
Namun, Mahkamah Daerah Incheon memutuskan kedua-duanya tidak bersalah atas tuduhan cubaan membunuh.
Sebaliknya, mereka disabitkan kesalahan mencederakan secara berat.
Isteri mangsa dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, manakala menantu dipenjara empat tahun kerana membantu serangan.
Anak perempuan mangsa pula didenda tiga juta won (sekitar RM8,000) selepas didapati terlibat secara tidak langsung dengan mengupah penyiasat persendirian untuk menjejaki bapanya.
“Saya cuma nak cacatkan dia”
Sejak awal siasatan, wanita itu mendakwa dia tidak berniat membunuh, sebaliknya hanya mahu mencacatkan suaminya sebagai balasan atas kecurangan.
Lebih mengejutkan, mangsa sendiri dilaporkan telah mencapai penyelesaian rasmi dengan isterinya dan memohon mahkamah supaya hukuman diringankan.
Di bawah undang-undang Korea Selatan, rayuan mangsa seperti itu boleh diambil kira sebagai faktor mitigasi dalam menentukan hukuman. – The Malaysian Update
The post Curang Punya Pasal… Isteri Potong Kemaluan Suami 50 Kali, Dipenjara 7 Tahun appeared first on The Malaysian Update.


