Curi duit parti: Muhyiddin nafi tuduhan Tun M, tiada hasrat heret ke mahkamah

LocalPolitics
13 Dec 2025 • 12:09 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu klip video yang tular bahawa beliau mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah.

Walau tuduhan liar berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas itu tular sejak pagi semalam, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh tiada niat untuk mengheret Tun M ke muka pengadilan.

"Saya tetap menghormati Tun Mahathir sebagai orang tua. Saya sendiri telah menyokong usaha-usaha beliau untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu dan hubungan kami adalah akrab.

"Oleh yang demikan, saya tidak berhasrat untuk mengheret beliau ke mahkamah," katanya dalam perkongsian di laman Facebook hari ini.

Muhyiddin turut menjelaskan beliau tidak pernah mencuri wang parti, malah semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung.

"Dakwaan sedemikian dibuat berkemungkinan kerana beliau mendapat maklumat yang tidak benar daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sebagai seorang negarawan, beliau sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada saya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap saya.

"Dalam banyak pertemuan saya dengannya, beliau tidak pernah membangkitkan perkara ini di hadapan saya. Maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya," jelasnya dalam perkongsian tersebut.

Semalam, Armada Bersatu Johor mendakwa satu rakaman video pertemuan mereka dengan Tun M telah dimanipulasi’ dan ‘disunting’ bagi mencetuskan persepsi palsu bahawa mantan perdana menteri menuduh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mencuri wang parti.

Klip berdurasi dua minit itu mula tular di WhatsApp pagi semalam, memaparkan Tun M seolah‑olah membuat dakwaan keras terhadap Muhyiddin — namun Armada Johor menegaskan ia adalah hasil suntingan berniat jahat.

Dalam rakaman itu, Mahathir kedengaran berkata seseorang ‘ada masalah’ dan ‘mahu jadi perdana menteri bukan untuk berkhidmat’ tetapi kerana bimbang masuk penjara.

“Pasai (pasal) kalau dia tak jadi PM, ada kemungkinan dia masuk dalam (penjara) pasal dia pun curi duit. Saya tahu. Duit parti, duit bagi kepada parti dia tak bagi pada parti, dia simpan di rumah dia dan duit tu la dia belanja,” katanya — tanpa menyebut sebarang nama. - 13 Disember, 2025

The post Curi duit parti: Muhyiddin nafi tuduhan Tun M, tiada hasrat heret ke mahkamah appeared first on Scoop.