
Johor Kembali ke Cuti Hujung Minggu Sabtu dan Ahad Mulai 2025
Cuti Hujung Minggu Johor Kembali Ke Sabtu Dan Ahad Mulai 2025. Mulai 1 Januari 2025, negeri Johor akan mengubah semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad. Pengumuman ini dibuat oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang menyatakan bahawa baginda telah menitahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, untuk dibincangkan secara terperinci.
Menurut Tunku Mahkota Ismail, keputusan tersebut telah mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim, serta restu daripada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Selain itu, pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) turut diambil kira sebelum membuat keputusan rasmi.

Titah Tunku Mahkota Ismail
Dalam titahnya, Tunku Mahkota Ismail menyatakan harapan agar syarikat swasta dan pihak kerajaan memberi kelonggaran kepada pekerja Muslim untuk menunaikan solat Jumaat tanpa kekangan waktu. Baginda juga telah mengarahkan Menteri Besar Johor dan Mufti Negeri Johor untuk meneliti keputusan ini dari pelbagai sudut.
Perubahan cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad ini menandakan satu lagi fasa baharu selepas Johor pernah beralih kepada cuti Jumaat dan Sabtu pada tahun 2014 atas titah Sultan Ibrahim, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat yang dianggap sebagai penghulu segala hari dalam agama Islam. Sebelum tahun 2014, cuti Jumaat-Sabtu sudah menjadi amalan lama di Johor, bermula sejak zaman Negeri Melayu Tidak Bersekutu, tetapi ditukar kepada Sabtu-Ahad pada tahun 1994 semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar.
Dengan keputusan terbaru ini, rakyat Johor akan sekali lagi menikmati cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad, selaras dengan kebanyakan negeri lain di Malaysia, bermula tahun hadapan.



